Tuesday, June 26, 2012

Rafizi : Perletakan Jawatan Untuk Fokus PRU 13

                  
                Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli menegaskan perletakan jawatan beliau sebagai Penasihat Ekonomi di Pejabat Kerajaan Negeri Selangor telah dirancang dari awal bagi menumpukan sepenuh tumpuan dalam usaha PKR dan Pakatan Rakyat (Pakatan) menumbangkan Umno-BN dalam Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13).
                 Katanya selain itu pelbagai strategi juga turut di rancang bagi memastikan Selangor terus dipertahankan.

Menurutnya, isu tersebut adalah keputusan peribadi yang sengaja diperbesarkan media kawalan Umno-BN kononnya petanda wujudnya keretakan di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.


Katanya, soal tersebut adalah sekadar rekaan dan imaginasi media kawalan Umno-BN yang mahu menggambarkan wujudnya perselisihan antara dirinya dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Setiausaha Politiknya, Faekah Hussin.

Beliau berkata, hubungannya juga rapat dengan pimpinan PKR yang lain termasuk Timbalan Presiden, Azmin Ali.

“Rakyat akan menghakimi sendiri putar belit Umno-BN ini kerana selepas ini dengan masa yang ada saya akan menumpukan perhatian terhadap kerja parti serta akan makin lantang membongkar segala penyelewengan dan salah rasuah melibatkan mereka.

“Bermula hari ini kita akan dedahkan satu isu besar berhubung projek LRT Ampang yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Dengan cabaran dilontarkan pimpinan Umno-BN sendiri, jelasnya, beliau akan mula berbincang dengan Faekah esok untuk meneliti fail penyelewengan yang berlaku di Selangor semasa pentadbiran Umno-BN dahulu.

Rafizi menambah, perletakan jawatannya juga berlandaskan pada asas moral atas kepercayaannya seorang ahli politk tidak wajar dibayar gaji dari wang rakyat apabila tumpuan condong kepada aktiviti parti politik.

“Malangnya, konsep kebertanggungjawaban sebegini tidak wujud di dalam Umno-BN. Mereka menggunakan jawatan dan kemudahan kerajaan yang ditanggung oleh rakyat untuk membayar pimpinan dan aktiviti mereka, sedangkan keseluruhan masa digunakan untuk berkempen politik bagi Umno-BN,” katanya.

Beliau selanjutnya berkata, perletakan jawatan itu juga sebagai persiapan dirinya untuk diletakkan sebagai calon dalam PRU13 nanti.

Katanya, keputusan berhubung perkara itu akan dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti dan akan diumumkan apabila tiba masanya.

“Sudah tentu kita ada strategi pilihanraya, sudah tentu juga kita ada kerusi yang yakin kita boleh menang dan kerusi ini memerlukan strategi tertentu. Kalau nama saya disebut di Pandan, Kemaman, nama saya juga disebut di Padang Rengas dan juga di Permatang Pauh…..contohnya.

“Keputusan akhir di mana saya akan diletakkan, itu adalah keputusan yang dibuat parti sehingga hari terakhir sebelum pencalonan dibuat. Cuma yang pasti saya akan bertanding,” katanya lagi.-Selangorku

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...