Tuesday, June 26, 2012

Skandal Kontrak Pembinaan Projek Tambahan Sistem LRT Ampang Melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak

  
           Saya merujuk kepada satu laporan yang disiarkan oleh Business Times bertarikh 22 Jun 2012 yang menyebut sumber-sumber yang rapat dengan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengesahkan sebuah konsortium yang diketuai oleh George Kent akan dianugerahkan kontrak bernilai RM960 juta. Kontrak tersebut adalah bagi kerja-kerja projek tambahan sistem LRT Ampang ("The Engineering, Procurement, Construction, Testing and Commissiong of System Works for the Ampang Line Extension Project").

KEADILAN mendapat maklumat yang rapat dengan kerajaan bahawa Najib Razak sendiri campur tangan di dalam hal ini untuk memastikan kontrak tersebut dianugerahkan kepada George Kent, sedangkan beliau pernah berjanji untuk berlaku telus dan memastikan semua kontrak besar dijalankan secara tender terbuka.


KEADILAN dimaklumkan bahawa laporan Business Times itu dibuat selepas Najib Razak mengumumkan sendiri kepada pimpinan kerajaan hasrat beliau menganugerahkan projek tersebut kepada George Kent.

Walau bagaimana pun, campur tangan beliau itu tidak disenangi oleh pengurusan Prasarana kerana bertentangan dengan penilaian bidaan yang telah dijalankan oleh Prasarana sebelum itu.

KEADILAN boleh mendedahkan bahawa George Kent bukanlah konsortium yang telah terpilih bagi projek tersebut setelah melalui proses tender terbuka yang dijalankan oleh Prasarana. Ini disahkan oleh surat bertarikh 12 Disember 2011 dari Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana kepada Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa Konsortium PDA telah dipilih sebagai kontraktor terbaik bagi projek tersebut.

Shahril Mokhtar telah menulis kepada Najib Razak sendiri untuk mendapatkan kelulusan mengeluarkan Surat Tuju Terima kepada Konsortium PDA.

Perkembangan terbaru seperti yang dilaporkan oleh Business Times mengesahkan bahawa Najib Razak bertindak menukar keputusan Prasarana dan menolak proses tender terbuka dalam projek mega yang melibat berbilion wang rakyat.

Ini mengesahkan persepsi masyarakat bahawa berlaku campur tangan dan penyelewengan yang serius melibatkan anugerah projek-projek awam di bawah pentadbiran Najib Razak, walaupun beliau sering melaungkan janji untuk berlaku telus dan adil.

KEADILAN akan melakukan pendedahan setiap dua hari bermula hari ini mengenai skandal ini yang bakal menguji komitmen Najib Razak kepada usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

Pendedahan-pendedahan ini adalah juga balasan dari saya kerana tindakan jijik UMNO di bawah kepimpinan beliau memutar belitkan keputusan saya menarik diri dari Kerajaan Selangor untuk menumpukan perhatian merancang strategi pilihanraya KEADILAN.

Saya betul-betul menasihati Najib Razak supaya menangani skandal ini dengan baik demi menjaga imej pentadbiran beliau. -RafiziRamli.dotCom

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...