Bagi UMNO Baru kerajaan yang baik itu ialah kerajaan yang boleh membina lapangan terbang, membina sekolah, melebarkan jalan, menyediakan bekalan air dan api letrik dan sebagainya. UMNO Baru tidak lagi memahami bahawa pembangunan fizikal itu hanyalah sebahagian yang kecil daripada apa yang dikatakan sebagai ‘nation building’ itu.
Itulah sebabnya UMNO Baru dan pemimpin-pemimpinnya tidak terlepas daripada mengungkit apa yang telah dilakukan terhadap rakyat dan negara.
Suatu ketika dahulu bantuan subsidi gigi palsu pun dijadikan umpan untuk orang-orang kampung mengundi parti itu di dalam pilihanraya. Di kampung saya suatu ketika dahulu bantuan lembu pawah juga menjadi isu untuk memaksa orang memilih BN.
Semuanya itu adalah pembangunan yang menggunakan wang rakyat dan pemimpin yang dipilih itu juga dibayar gaji dan elaun oleh rakyat. Tidak sedar mereka itu yang nasib mereka itu adalah di tangan rakyat tetapi mereka tetap mengatakan bahawa pembangunan itu semua adalah budi kerajaan BN. Mereka tidak pernah untuk kembali berfikir yang mereka itu duduk di atas singgahsana kuasa itu adalah pemberian rakyat.
Sesiapa juga atau parti mana pun yang diberi mandat akan melakukan pembangunan kerana harga pembangunan itu dibayar oleh rakyat, bukannya oleh UMNO Baru atau pemimpin mereka. Di Pulau Pinang dan Selangor, misalnya pembangunan rakyat dibiayai oleh rakyat negeri-negeri itu melalui segala bentuk cukai yang dikutip dari rakyat.
Kerajaan kedua-dua negeri itu telah berjaya melakukan apa yang dilakukan oleh kerajaan BN selama ini malahan ianya dilakukan dengan lebih baik dan transperan dari kerajaan BN dahulu. Rasuahnya tiada lagi seperti yang begitu lazim semasa BN memerintah negeri-negeri tersebut. Pemimpin BN persekutuan tidak pula mahu menyebut peranan besar yang diberikan oleh kedua-dua kerajaan PR ini terhadap negara.
Elok pemimpin BN membuat kenyataan yang kedua-dua kerajaan negeri PR ini menyumbang sebanyak 40% dari hasil GDP negara. Itulah salah satu sebabnya rakyat di kedua-dua buah negeri ini tidak mahu lagi dijaga dan ditadbir oleh BN kerana kerajaan BN telah menyalahgunakan sumber kewangan negara yang 40% darinya adalah sumbangan kerajaan dan rakyat kedua-dua buah negeri ini.
Itu belum lagi belanja sewaan kerusi dan khemah yang banyak. Sewa kerusi yang lazimnya hanya 0.65 sen bagi sebuah kerusi kroni UMNO Baru yang menyediakan kerusi itu akan tekan harga dari penganjur sebanyak RM1.70 sen. Kalau jumlah kerusi yang disewa itu sebanyak 20,000 buah bayangkan berapa harganya. Karipap yang sebesar ibu jari itu ditekan harganya sehingga satu ringgit bagi satu karipap bayangkan harga yang perlu dibayar untuk menyediakan 100,000 karipap. Kalau karipap itu tebal dan tembam tak apa juga!
Apabila habis upacara baru sedar semuanya adalah pembaziran kerana jumlah orang yang datang memberikan sambutan itu jauh lebih kecil dari yang dijangkakan. Semuanya ini pembaziran besar. Lawatan PM dan DPM ini tidak memberi apa-apa kebaikan selain daripada menghabiskan karipap sahaja. Ingat, rakyat dari negeri PR juga membayar cukai dan penyumbang besar kepada kantung kewangan negara.
Mahal betul untuk mengekalkan kuasa dan kosnya itu ditanggung oleh rakyat. Budaya ini wajar dihentikan kerana ia merupakan pembaziran kepada sumber kewangan rakyat dan negara. Sesungguhnya lawatan peribadi itu yang penting, tetapi yang lebih penting ialah dasar-dasar yang baik dan implimentasinya yang cekap.
Yang patut turun kepada rakyat ialah dasar yang diimplimentasikan dengan baik dan cekap terhadap rakyat Rakyat merasakan yang dasar-dasar itu benar-benar sampai ke bawah bukannya dapat bersalam dengan PM dan isterinya.
Setakat bersalaman dengan orang ramai bukan lagi cara politik zaman moden ini. Cara itu memang telah diamalkan sejak zaman berzaman, tetapi inilah yang kita dapati sekarang ini. Politik menjadi permainan yang mengelirukan semata-mata kerana budaya bersalaman tetapi tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat jelata.
Sudah lima puluh lima tahun pemimpin turun bersalaman tetapi rakyat masih tidak berpuas hati kerana salam yang tidak membawa apa-apa faedah kepada mereka (rakyat).
BN dan UMNO Baru tidak sedar bahawa penilaian (judgement) terhadap pimpinan mereka ialah kepada dua perkara penting. Pertamanya ianya akan dinilai dari tahap rasuah yang diamalkan oleh UMNO Baru dan pimpinannya serta kerajaan yang melaksanakan dasar yang digubal.
Keduanya sejauh mana kejayaan perhubungan di antara kaum di negara ini. Apabila isu perkauman dimainkan oleh UMNO Baru dengan begitu nyata maka itulah yang menyebabkan pola dan ‘tendency’ pengundian didasarkan kepada kaum dan ‘ethnic’ dan apabila perkara ini berlaku maka perhubungan kaum akan menjadi begitu tegang seperti yang kita lihat dan alami sekarang ini.
Itulah sebabnya sekarang parti-parti dalam PR sedang mendapat sambutan daripada rakyat yang dahagakan ‘national unity’ yang sebenarnya. Rakyat tahu mereka (rakyat) tidak akan mendapat keharmonian ini selagi UMNO Baru masih berkuasa selepas pilihanraya nanti. UMNO Baru terlalu rasis untuk kepentingan Melayu kononnya, tetapi Melayu tidak ke mana juga. Takkan Melayu boleh meletakkan nasib masa depannya kepada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sejemput itu.
Melayu yang mendapat habuan besar terus menerus hanyalah Melayu yang menjadi ahli ekskusif kepada parti itu yang jumlahnya boleh dikira dengan jari sahaja. UMNO Baru sendiri telah mengabaikan orang Melayu sendiri, tetapi masih menyanyikan lagu rasis ini kerana pilihanraya akan datang tidak lama lagi.-Aspanaliasnet
No comments:
Post a Comment