Monday, June 18, 2012

Sokongan terhadap Nizar, tempelak buat Umno - Mohd Rashidi Hassan

  
              Bagi manusia yang waras dan boleh berfikir, tiada apa-apa kesalahan yang boleh disabitkan terhadap Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung dengan twitter beliau mengenai plat nombor WWW1 yang dibida Sultan Johor dengan harga RM520,000.
               Nizar tidak derhaka, Nizar tiada unsur-unsur untuk menghina Raja. Serangan terhadap Nizar sengaja digembar-gemburkan dan diambil kesempatan media talibarut Umno-Barisan Nasional, bertujuan hendak mengeruhkan hubungan PAS dengan Istana Johor.

Lagi teruk Nizar diserang, lagi ramai rakyat yang bangkit menyokong mantan Menteri Besar Perak itu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan, serangan terhadap Nizar dan imej buruk yang cuba dipalitkan terhadap Pakatan Rakyat, sama sekali tidak menjejaskan peluang Pakatan Rakyat di Johor.


“Saya tidak rasa sama sekali peluang PAS termasuklah Pakatan Rakyat di negeri ini terjejas kerana rakyat Johor sudah dapat untuk membuat sesuatu keputusan berdasarkan kematangan mereka dalam berpolitik. Isu seperti ini tidak menjejaskan kita kerana rakyat boleh faham tentang isu dibangkitkan.

“Mengenai penentangan terhadap Raja-Raja Melayu, saya rasa Umno mempunyai sejarah yang begitu panjang. Mengenai kebiadapan dan keterlanjuran mereka menghina Raja-Raja Melayu. Rakyat boleh faham dan ada maklumat mengenai hal ini.

“Jadi saya rasa ia tidak akan memberikan apa-apa kesan terhadap peluang Pakatan Rakyat dalam Johor kerana kita tidak langsung menyentuh isu yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutusan dan undang-undang negeri sekali gus Pas menghormati prinsip raja berpelembagaan,” katanya

Tegas Salahuddin, Nizar sudah menjalankan tanggungjawabnya untuk memohon perkenan mengadap Sultan Johor bagi menjernihkan suasana.

Isu berkaitan Nizar ini sama seperti isu Bukit Kepong yang membabitkan fitnah terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. Ia berkaitan dengan Johor juga kerana Bukit Kepong terletak dalam Parlimen Pagoh yang diwakili Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Saban hari media talibarut Umno memainkan isu Mohamad Sabu mengkhianati negara, menyokong komunis, menghina polis dan sebagainya. Habis seluruh juak-juak Umno bangkit mengecam Mohamad Sabu, sehingga berlaku kekasaran dan gangguan sewaktu beliau berceramah.

Tetapi hari ini, segala tohmahan, himpunan gerombolan bodoh penyokong-penyokong Umno yang memaki hamun dan memfitnah Mohamad Sabu, terpaksa menjilat ludah mereka sendiri, apabila saksi polis (pendakwaraya) yang sendiri mengaku bahawa tindakannya membuat laporan polis terhadap Timbalan Presiden PAS itu tidak betul sama sekali.

Fitnah terhadap Mohamad Sabu ini sama dengan Nizar. Yang jahat dan dangkal di sini adalah Umno. Mereka berselindung di sebalik kedaulatan negara, berselindung di sebalik perjuangan Melayu dan dalam kes Nizar Umno berselindung di sebalik Raja Melayu.

Umno-BN harus ingat. Kita semua, sama ada PAS, KeADILan dan DAP serta mana-mana parti politik yang pembangkang lain, adalah rakyat Malaysia. Kami warganegara Malaysia yang cintakan keamanan, keharmonian serta menyanjungi prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia.

Setiap kita warganegara Malaysia, adalah rakyat sentiasa berpegang teguh dengan lima prinsip Rukun Negara iaitu: Kepercayaan Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; Kesopanan dan Kesusilaan.

Rakyat juga sebulat suara untuk mendukung cita-cita Malaysia untuk; Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; Memelihara cara hidup demokratik serta mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama.

Inilah keunikan Malaysia. Walaupun kita mempunyai rakyat yang mempunyai kepercayaan agama yang berbeza, dari pelbagai kalangan etnik dan latar belakang, walaupun berbeza fahaman politik, rakyat tetap mendukung satu cita-cita yang sama, iaitu mahu memelihara keharmonian dengan menghormati antara satu sama lain.

Bagi memelihara keharmonian ini, sesuai dengan prinsip Rukun Negara, Raja atau pemerintah yang harus disandarkan kepada mereka kesetiaan, mestilah melaksanakan tugas mereka secara adil dan saksama, mengikut lunas-lunas demokrasi.

Adil dan saksama bermakna berimbang. Sesiapa yang salah diperbetulkan. Sesiapa yang benar disanjungi. Dan yang paling penting sekali, semua kita adalah makhluk yang harus mentaati kehendak-Nya yang Satu, iaitu Allah SWT.

Semua kita dijadikan dari asas yang sama, iaitu dari tanah, setitis air benih, air mani dan segumpal darah. Justeru tiada apa yang membezakan kita pada pandangan-Nya, melainkan mereka yang bertakwa. Di atas prinsip takwa inilah dirangka prinsip Kepercayaan kepada Tuhan.

Walaupun kita ada Raja-Raja, kita ada undang-undang, kita ada penguasa yang menjaga keamanan, namun kepercayaan yang utama, harus kita asaskan kepada Allah, yang bagi orang-orang Melayu, mentaati Allah dengan mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam.

Di dalam Islam, tiada siapa yang maksum melainkan Nabi Muhammad s.a.w. Tiada siapa yang tidak boleh ditegur. Cuma Islam menekankan soal pendekatan dengan hemah dan hikmah.

Dalam konteks penghormataan dan ketaatan kepada Raja misalnya. Islam menggariskan dengan jelas bahawa, kalangan ahli agama, kalangan al-mala (pemimpin) terutamanya, mestilah mentaati mereka, selama-mana mereka tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat.

Misalnya jika Raja tidak solat, Raja meminum arak, Raja melakukan perkara-perkara yang maksiat kepada Allah, maka haram sama sekali mereka ditaati secara mutlak. Bagaimana kita boleh mentaati makhluk yang melakukan perkara yang dilarang Allah SWT?

Maka sebaliknya bagi Raja-Raja yang adil dan soleh. Selain mendapat penghormatan dan keampunan daripada Allah, mulia disisi Malaikat-Nya, malah mendapat sanjungan yang tidak berbelah bahagi dari kalangan rakyat. Raja sebeginilah yang kita idam-idamkan memayungi kita. Iaitu payungan mereka bukan sahaja di dunia, malah sehingga ke akhirat.

Dalam konteks politik di Malaysia, kita merasakan bahawa terdapat suatu situasi yang amat buruk apabila terdapat golongan yang memperalatkan Raja untuk kepentingan politik mereka.

Golongan ini adalah Umno. Merekalah yang mengkhianati Raja, tetapi mereka mendakwa mereka mendukung Raja. Merekalah yang merosakkan sistem negara dengan rasuah dan penggadaian Tanah Rizab Melayu, tetapi mereka berjaya berselindung di sebalik Raja.

Kita, rakyat jelata berasa terlalu kerdil untuk menasihatkan Raja-Raja, maupun memperingatkan semula sejarah hitam lampau mengenai kebiadapan melampau para pemimpin Umno mencaci hina institusi Raja-Raja Melayu yang dikenali sebagai Krisis Perlembagaan 1993.

Tetapi demi Allah dan demi Agama, Raja-Raja tak perlulah begitu sensitif dengan sebarang teguran dari rakyat, melainkan teguran itu menderhakai Raja-Raja.

Menderhakai itu membawa maksud menentang Raja-Raja, menentang Raja-Raja berperlembagaan, menghina Raja-Raja dengan perkara yang tidak betul, mempersoalkan kedudukan Raja-Raja seolah-olah Raja-Raja tidak dipertahankan oleh Undang-Undang dan Perlembagaan.

Selepas Pindaan Perlembagaan yang disetujui oleh semua Raja-Raja, kecuali keatas beberapa perkara yang khusus, Raja-Raja di Malaysia hampir menyamai Raja (Takhta) di England, iaitu berbentuk "ceremonial".

Pindaan Perlembagaan itu dipaksakan keatas Raja-Raja oleh Kerajaan Umno-BN dan semasa proses pindaan itu berlangsung seluruh jentera Kerajaan Umno-BN ketika itu mengambil sikap yang sangat biadap terhadap Raja-Raja dan admin masih ingat terlibat bersama PAS mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu,

Amat sedih dan pilu pada waktu itu bila membaca Utusan Malaysia dan Berita Harian yang begitu "kurang ajar" dan biadap tiada taranya terhadap Raja-Raja.

Tetapi kuasa politik berada ditangan Umno. Malangnya tiada Raja-Raja yang murka di atas tulisan-tulisan yang menghina Raja-Raja yang dipaparkan walau sehodoh manapun mereka memaki hamun dan menghina Raja.

Akhir kata, sekadar renungan buat Raja-Raja Melayu, dipaparkan gurindam Raja Ali Haji pasal yang kedua belas (gurindam XII):

Raja mufakat dengan menteri, seperti kebun berpagarkan duri.
Betul hati kepada raja, tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh inayat.
Kasihkan orang yang berilmu, tanda rahmat atas dirimu.
Hormat akan orang yang pandai, tanda mengenal kasa dan cindai.
Ingatkan dirinya mati, itulah asal berbuat bakti.
Akhirat itu terlalu nyata, kepada hati yang tidak buta.-Mohd Rashidi Hassan

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...