“Kami adalah gerakan massa yang non partisan. “Tujuan kami ialah untuk meluaskan demokrasi di Malaysia dengan memperkasa semua pihak yang berkepentingan untuk berpegang kepada prinsip ketelusan sistem pilihan raya,” ujar Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 terdiri daripada Datuk Ambiga Sreenevasan (Pengerusi Bersama), Datuk A. Samad Said Pengerusi Bersama), Ahmad Shukri Abdul Razab, Andrew Ambrose, Andrew Khoo, Anne Lasimbang, Arul Prakkash, Arumugam K., Awang Abdillah, Dr Farouk Musa, Hishamuddin Rais, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Matthew Vincent, Niloh Ason, Richard Y W Yeoh, Dr Subramaniam Pillay, Dato’ Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Dato’ Yeo Yang Poh dan Zaid Kamaruddin.
Ini, tambah kenyataan itu bertujuan untuk mempertahankan hak pengundi.
Bersih 2.0 melihat teori konspirasi yang ditelorkan oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Muhamad dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tentang Bersih 2.0 sedang merancang untuk menjatuhkan kerajaan melalui kacau bilau sesudah PRU13 adalah berniat jahat dan satu tohmahan.
“Kami melihat niat fitnah dan tuduhan gila ini hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan orang ramai dari Bersih 2.0,” ujar kenyataan itu lagi.
Menurut jawatankuasa itu, sebagai wakil rakyat yang telah dipilih dan juga Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin seharusnya menjalankan tanggungjawab dan bekerja keras memerah tenaga untuk memastikan berlakunya reformasi dalam sistem pilihan raya.
Ini, kata Bersih 2.0 untuk memastikan PRU13 nanti akan berjalan dengan adil, bebas dan bersih di mana ratusan ribu warga yang keluar di Duduk Bantah Bersih 3.0 adalah tanda tuntutan orang ramai kepada sistem pilihan raya yang adil.
“Kami ingin mengingatkan Timbalan PM ini tentang tugas utama sebagai wakil rakyat yang dipilih dan sebagai menteri ialah berkhidmat untuk rakyat.
“Bukan bekerja untuk memajukan agenda peribadi atau agenda parti sendiri.
Tohmahan dan fitnah ini adalah contoh politik kotor,” katanya.
Justeru ianya menjadi salah satu dari 8 tuntutan Bersih 2.0 iaitu hapuskan politik kotor.
Sehubungan itu, Bersih 2.0 menyeru semua wakil-wakil rakyat dan juga pegawai-pegawai kerajaan untuk berhenti daripada melakukan politik kotor.
Jawatankuasa itu menambah, masanya telah sampai untuk menumpukan kepada isu dan dasar-dasar yang betul-betul diperlukan oleh rakyat.-Hrkhdaily
No comments:
Post a Comment