Tuesday, January 29, 2013

Wasatiyyah Najib bertentangan amalan Rasulullah – Anwar


Konsep wasatiyyah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal menggambarkan keperibadian pemimpin Islam kerana kaedah pelaksanaannya bertentangan syiar Islam dan amalan Rasullullah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Umum KEADILAN itu berkata, wasatiyyah yang menjadi ungkapan politik Umno dijadikan umpan Najib untuk mendapat sokongan pengundi Melayu, diguna untuk menzalimi rakyat.

“Tengok pemimpin Islam, pukul orang, bunuh orang. Nak tengok rasuah, tengoklah pemimpin Islam. Cakap dengan angkuh, ambil balak (pun) pemimpin Islam. Surat khabar Islam (kerjanya) fitnah orang. Utusan Malaysia, bapak segala fitnah di Malaysia. Siapa punya, Melayu punya.


“Melayu mana, Melayu Islam, siapa ketua, Najib! Wasatiyyah apa, wasatiyyah fitnah yang dipertahankan. Ini bukan soal politik, tapi soal hukum, soal akhlak, tapi jika tanya ustaz Umno inilah wasatiyyah (namanya),” katanya depan kira-kira 10,000 rakyat pada Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Pekan Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan, di sini malam tadi.

Anwar berkata, tempoh beliau dipenjara lapan tahun hanya ujian kecil jika dibandingkan perjuangan Rasulullah menegakkan syiar Islam.

Beliau mengimbas kembali perjuangan Rasullullah yang penuh onak duri berhadapan puak penentang Islam.

“Ada orang cakap, kamu dah solat hajat, tapi kenapa tidak menang lagi…punyalah jahil. Nabi pun ambil masa 13 tahun, sehingga luka pipinya. Nabi itu kekasih Allah, manusia terulung. Jadi sebab itu menghadapi ujian kita kena sabar, ujian ini macam-macam, wang ringgit, ugutan dan sebagainya,” katanya.

“Saya masuk penjara lapan tahun. Bila masuk penjara jangan ingat kita besar. Semasa zaman Rasulullah, ada sahabat bertanya siapa yang paling banyak terima ujian, Rasulullah jawab para nabi. Ini derita kecil. Kata Tok Guru, ini ujian untuk jadi baik,” sambung beliau disambut tepukan hadirin.

Katanya, hasil wasatiyyah Umno BN itu patut menjadi contoh kepada bukan Islam, tetapi berlaku sebaliknya.

“Politik boleh dibuat dengan lakaran kata-kata. Boleh berjanji dan kata kami akan pertahankan pentadbiran bersih daripada kotor, banteras rasuah tapi rasuah juga. Wasatiyyah tapi tidak ada kesederhanaan dalam apa cara sekalipun,” katanya.

“Wasatiyyah ini umat yang seimbang, (yakni) menjaga keseimbangan dan tahu menjaga nilai hidup. Tahu prinsip keadilan, tidak melampau serta zalim. Kalau itu dilakukan, orang bukan Islam akan hormat kita,” ujar Anwar.

Terdahulu, beliau menerima memorandum daripada lima wakil kawasan Felda sekitar Gemas antaranya, Felda Jempol, Lui, Jelai, Kepis dan Palong berhubung masalah penanaman semula kelapa sawit.-Keadilandaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...