Tuesday, January 22, 2013

Najib bertaubat atau bersandiwara di Kelantan?

Antara  kain rentang menyambut lawatan Najib ke Kelantan

Nampaknya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak bertaubat sepenuhnya daripada kesilapan lampaunya dan hanya bersandiwara terhadap rakyat.

“Belum sampai beberapa hari dan air matanya belum kering lagi apabila beliau meminta maaf kepada rakyat, kini beliau menipu pula rakyat Kelantan.

“Dalam keadaan pilihan raya umum ke 13 sudah dekat, beliau mudah menabur janji. Janjinya melangit tinggi dan lumayan harganya,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Riduan Mohd Nor.


Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tindakan Najib yang telah menabur janji baharu yang lebih menarik kepada rakyat Kelantan iaitu untuk membina lebuhraya bagi menghubungkan kawasan Kuala Krai dan Kota Bharu di negeri itu.

Turut diumumkan Najib adalah enam lagi projek mega khusus untuk menambat hati pengundi Kelantan supaya menyokong beliau.

Selain lebuh raya, beliau menjanjikan membina Sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memuatkan 5,000 pelajar, membina stadium baharu, masjid terbesar serta projek menyelesaikan masalah air.

Namun demikian, kata Riduan semua itu diyakini hanya tinggal harapan jika BN ranap di Kelantan.

Baginya, Najib mahu menjadi seperti Santa Claus yang akan memberi apa sahaja yang diingini oleh rakyat, namun pemberiannya semua itu bersyarat iaitu mengundi BN pada PRU13.

“Rakyat beliau ibaratkan barang yang tidak berharga, boleh dijual beli, diugut dan diumpan sesuka hati,” ujarnya.

Beliau berkata, sebenarnya tawaran yang beliau jual kepada rakyat Kelantan sebagai sikap paling kejam dan keji bagi pemimpin negara.

Sebagai ketua negara, kata beliau Najib tidak wajar menabur umpan sebegitu yang meletakkan sesuatu dengan bersyarat atau dekat-dekat dengan pilihanraya bukanlah suatu sikap pemimpin yang ikhlas mahu membantu rakyatnya yang menggambarkan kepemimpinannya ala-diktator yang angkuh dan sombong.

“Jika beliau benar ikhlas mahu membantu rakyat khususnya orang Melayu, tidak perlu menanti dekat pilihanraya. Sepatutnya dua tahun lepas beliau sudah umum dan terus jalankan projek tanpa lengah,” katanya.

Hakikatnya, kata Riduan lagi tawaran yang beliau nyatakan tersebut bukan suatu pilihan kepada rakyat Kelantan, melainkan suatu kewajipan.

Menurutnya, mungkin Najib tidak tahu bahawa menyediakan kemudahan yang selesa untuk rakyat adalah suatu kewajipan beliau bersama kerajaan negeri.

“Mana-mana kewajipan atau tanggungjawab yang diabaikan adalah suatu kesalahan dan dosa kepada rakyat dan rakyat wajar menghukum pemimpin seperti ini.

“Apalah malang bagi rakyat yang masih mahu memilih pemimpin seperti ini yang cuai dalam menunaikan kewajipannya serta tidak mengenal erti tanggungjawab yang dipikul,” ujarnya lagi.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...