Saturday, January 26, 2013

PAS Sarawak kecam Ibrahim Ali


(Ibrahim ketika mencadangkan agar Bible bahasa Melayu dibakar yang menyebabkan pelbagai pihak tertanya-tanya kenapa beliau bebas bercakap begitu)
PAS Sarawak mengecam keras tindakan presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang menyeru supaya membakar Bible versi Bahasa Melayu yang menggunakan kalimah Allah.

"Adakah dengan perbuatan membakar Bible versi Bahasa Melayu dapat menyelesaikan masalah kalimah Allah?

"Perbuatan Ibrahim Ali hanya mengundang perasaan benci penganut bukan Islam terhadap Islam," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee.


Beliau seterusnya bertanya, adakah Islam mengajar umatnya melakukan perbuatan yang biadap ini terhadap penganut agama lain?

"Bagaimana pula kalau penganut agama lain yang membakar kitab suci umat Islam, sudah tentu umat Islam juga akan marah dan begitulah sebaliknya," tegas Jofri yang juga Yang Dipertua PAS Miri.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, perbuatan Ibrahim Ali bukan mewakili umat Islam tetapi lebih kepada perbuatan extremis PERKASA yang bersifat perkauman yang melampau.


Islam, katanya, melarang umatnya bertindak sedemikian rupa kerana ianya boleh mencetuskan rusuhan kaum dan agama dalam negara ini.

Bagi beliau, PAS Sarawak serta umat Islam yang rasional tidak akan bertindak menghina agama lain disebabkan oleh salah faham dan adalah lebih baik mengadakan perjumpaan atau dialog antara agama untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan.

Sementara itu, sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris mempersoalkan bagaimana Ibrahim boleh bebas bercakap perkara yang sensitif sebegitu tetapi sentiasa terlepas dari tindakan.

The Mail di muka depannya melaporkan pelbagai tindakan dan kenyataan Ibrahim sebelum ini dilihat salah tetapi tidak ada tindakan dikenakan ke atasnya.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...