Saturday, January 26, 2013

Isu ganas Perkasa membunuh harapan BN- AspanAlias


Saya mempunyai pendapat yang akhirnya Dr Mahathir dan Perkasa lah menjadi penyebab lunturnya sokongan rakyat terhadap BN khususnya UMNO. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menjawab persoalan yang dikemukakan kepada saya kenapa saya tidak pernah memberikan komen terhadap Perkasa sedangkan Perkasa itu bukannya NGO yang sejati tetapi ia merupakan cabang UMNO pada hakikatnya. Ia sesungguhnya badan politik yang aktif.


Sekarang ini ternyata yang Perkasa itu sedang memainkan isu keagamaan pula dengan seruan untuk membakar kitab Bible yang berbahasa Melayu yang menggunakan nama Allah. Perkasa membuat tuduhan yang pihak kristian telah mengedarkan kitab bible kepada murid-murid sekolah dan ini merupakan tuduhan yang bersifat jauh dari kebenarannya. Tetapi permainan politik pertubuhan itu menyebabkan Perkasa telah begitu di benci oleh orang ramai dan ia sekali gus meruntuhkan saki-baki kuasa dan sokongan rakyat terhadap UMNO itu.

Penaung Perkasa, Dr Mahathir juga akhir-akhir ini tidak lagi bersifat sebagai seorang negarawan dan masih bermain api dalam politik negara. Tindakan beliau memalitkan nama baik Tunku Abdul Rahman yang sudah lama meninggalkan kita merupakan satu tindakan Mahathir yang agak keterlaluan dan tidak dapat di terima oleh rakyat yang berterima kasih diatas pengorbanan beliau menyudahkan usaha tuntutan kemerdekaan negara kita dahulu.

Mahathir telah menyamakan beliau seperti Tunku yang juga telah memberikan kerakyatan kepada sejuta orang bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan dahulu. Tidak payah diulangi isu ini kerana saya telah menulis tentangnya dalam posting saya yang lalu. Hanya kalau saya hendak sebut hanyalah perbezaan diantara Mahathir dan Tunku itu ibarat langit dengan bumi jauhnya.

Tunku semasa akhir hayatnya telah terbukti tidak mengambil kesempatan terhadap kekayaan negara dan beliau tidak meninggalkan apa-apa. Begitu jugalah ahli-ahli keluarga beliau yang tidak mempunyai harta bergunung-gunung tingginya. Sebaliknya Mahathir telah menggunakan kuasa dan pengaruh membina ‘empire’ perniagaan anak-anak beliau dan mengambil kesempatan dengan tiada batasnya terhadap peluang perniagaan.

Sebagai seorang yang hidup dalam keluarga istana dan keluarga 'aristocrat' Tunku merupakan seorang yang paling ‘magnanimous’ dan tidak mengambil kesempatan diatas kuasa yang ada ditangan beliau selama 15 tahun beiau menerajui kepimpinan negara. Saya selalu menyebut perbezaan diantara dua manusia itu adalah dari cara seseorang itu dibesar dan dididik oleh keluarga masing-masing. Orang tua-tua dahulu selalu mengingatkan kita untuk memilih latar belakang keluarga dan darah yang mengalir di dalam naluri orang pilihan kita itu.

Walaupun UMNO telah berusaha untuk mengembalikan sokongan ramai terhadapnya tetapi sikap ‘panjang muncung’ Dr Mahathir dan Presiden Perkasa itu sendiri telah menjatuhkan imej UMNO dan BN dengan begitu teruk sekali. Akhirnya Perkasa telah menjadi penyebab UMNO sehari dua ini begitu buruk persepsi rakyat terhadapnya. Kata-kata Dr Mahathir menambahkan lagi kesakitan yang dihadapi oleh UMNO yang sedang terkial-kial untuk mendapatkan sokongan rakyat sekarang ini.

Sepatutnya UMNO menganggap Dr Mahathir ini sebagai garam sahaja. Garam ini penting, tetapi tidak boleh digunakan dengan banyak. Jika dibubuh garam terlalu banyak ia akan merosakan masakan kita. Garam ini hanya perlu di gunakan setakat secukup rasa sahaja tidak boleh banyak-banyak. Tetapi Dr Mahathir bercakap terlalu banyak sehinggakan segala usaha yang di buat oleh UMNO untuk memulihkan imejnya telah jatuh dengan teruknya di mata rakyat.

Tetapi apakan daya. UMNO tidak boleh menguasai Dr Mahathir kerana Dr Mahathir yang sedang berusaha untuk menguasai UMNO. Dr Mahathir tidak akan sihat tubuhnya kalau tidak bercakap. Semua kata-katanya menyebabkan UMNO jatuh kredibilitinya dan membawa musibah kepada parti yang telah uzur itu.

Sesungguhnya sifat celupar yang berlebihan oleh Dr Mahathir dan Ibrahim ini memberikan faedah yang besar kepada Pakatan Rakyat. Dalam keadaan pilihanraya sudah begitu hampir ia terlalu suntuk untuk BN memperbetulkan segala kesalahan Dr Mahathir dan Ibrahim Ali terhadap UMNO.

Masalah yang ditimbulkan oleh Perkasa dan kata-kata Mahathir akhir-akhir ini mendapat tentangan dari komponen Barisan Nasional sendiri. MIC begitu lantang membidas Ibrahim Ali dan Dr Mahathir.

Pemuda MIC telah mendesak agar Ibrahim Ali di tahan untuk dibicarakan diatas berbagai-bagai isu yang merbahayakan keselamatan negara yang disebabkan oleh Ibrahim Ali. Gerakkan dan berbagai-bagai lagi pertubuhan NGO yang mengeluarkan kenyataan meminta tindakan undang-undang terhadap Presiden Perkasa ini.

Hakikatnya BN akan diselubungi oleh masalah dalamannya sendiri serta masalah-masalah yang di timbulkan oleh pertubuhan-pertubuhan dan individu-individu yang berpihak kepada BN itu sendiri. Selama ini BN telah memasang terlalu banyak jerat untuk memerangkap Pakatan Rakyat tetapi oleh kerana terlalu banyak jerat-jerat itu dipasang maka mereka (BN) terjerumus ke dalam jerat-jerat itu sendiri.

Pendeknya apa yang parti-parti dalam Pakatan Rakyat perlu lakukan hanyalah membuat persediaan rapi bagaimana hendak mentadbir negara dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh UMNO dan BN sekian lama itu. Berikanlah persekitaran politik yang baik dan nyaman untuk rakyat yang sudah terlalu lama menghadapi kecelaruan yang dilakukan oleh BN selama ini.

Pakatan rakyat khususnya kepada kepimpinan tertingginya mesti sedar yang BN sedang melakukan apa sahaja untuk memecahkan parti-parti dalam Pakatan Rakyat khususnya di antara PAS dan DAP.

Bagi BN apabila pecah sahaja perhubungan di antara PAS dan DAP maka BN akan mendapat kemenangan walaupun kemenangan yang tipis. Jagalah perhubungan di antara PAS dan DAP dengan baik kerana perpecahan diantara dua parti ini merupakan resepi yang paling baik untuk BN dalam menghadapi pilihanraya ini.

Jauhi diri dari membuat kenyataan yang mudah di mainkan oleh UMNO terutamanya. Insyaallah UMNO tidak akan berjaya untuk menyempurnakan niat buruknya terhadap Pakatan Rakyat itu dan Pakatan akan menjadi kerajaan buat kali pertamanya dalam sejarah kemerdekaan negara kita.



AspanAlias.Net

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...