Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan beliau diserang angin ahmar ringan (minor stroke) sebagaimana khabar angin yang bertiup kencang sejak minggu lalu.
"Bursa Malaysia sihat, pasaran juga sihat, pasaran sukut juga sihat, saya juga sihat. Jadi jangan dengar laporan blog, tolonglah," kata Najib ketika memberikan ucapan semasa merasmikan pelancaran the Exchange Traded Bonds and Sukuk (ETBS) hari ini.
Sejak seminggu lalu, khabar angin kencang bertiup kononnya Najib terkena minor stroke ekoran serangan bertalu-talu Deepak Jaiskishan ke atas beliau dan keluarganya.
Laman web Sarawak Report adalah yang pertama menyiarkan secara bertulis tentang khabar angin ini.
Najib telah tidak keluar dalam media sejak beberapa minggu lalu dan negara seolah-olah dipimpin oleh timbalannya, Tan Sri Muhyidin Yassin.
Beliau dikatakan membuat lawatan keluar negara termasuk dua hari ke India bagi menyertai satu persidangan di sana.
Ketika negara dilanda banjir buat kali pertamanya, ada media menyiarkan gambar kononnya Najib melihat banjir itu dari udara namun ramai tidak percaya kerana ketika itu dia dikatakan berada di luar negara.
Pengarang Malaysia Chronicle, Wong Choon Mei dalam tulisannya bertajuk 'NEW PM FOR MALAYSIA? Najib to be forced to step down on 'health reasons'?' mendakwa, besar kemungkinan negara akan mendapat perdana menteri baru tidak lama lagi.
Ini berikutan ada usaha yang dibuat oleh pihak tertentu mahu mengenepikan Najib dengan alasan kesihatan apabila tersebarnya berita angin beliau terkena minor stroke itu.
Menurut laporan itu, asasnya adalah kerana dakwaan Deepak yang sehingga kini tidak diberikan sebarang reaksi oleh Najib.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi berjanji akan menjawab penyataan Deepak apabila serangan pertama dibuat ke atas Najib melalui Harakahdaily dan beberapa media online yang lain.
Namun, tidak ada sebarang kenyataan lagi dari Zahid mengenainya selepas itu.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa memberikan tempoh 48 jam kepada Najib untuk membuat penjelasan.
Tempoh 48 itu sudah berlalu dan media sedang menunggu kenyataan dari Husam mengenainya selepas masa itu berlalu.
Deepak bukan sahaja membuat kenyataan kepada media online tetapi juga membuat buku kecil yang kini sedang hangat beredar.
Antara dakwaan Deepak adalah, beliau terlibat memujuk P Balasubramanian membuat Akuan Bersumpah (SD) kedua atas permintaan rakannya, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib.
SD pertama PI Bala disifatkan sebagai masalah besar kepada Najib dan ia perlu diselesaikan.-Harakahdaily
No comments:
Post a Comment