Tuesday, January 29, 2013

Lajim yakin 18 kerusi Parlimen Sabah bakal ditawan Pakatan


Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin, yakin 18 kerusi Parlimen negeri itu akan berjaya dirampas pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13).

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, rakyat Sabah berani membuat perubahan walaupun diugut pelbagai cara oleh Umno BN.

“Sudah lama saya sertai politik, daripada umur 31 tahun. Kali ini melihatkan kebangkitan rakyat Sabah, saya yakin sekurang-kurangnya 18 kerusi Parlimen Umno akan tumbang.


“Kalau kamu ke Sabah sekarang, tanya mood mereka, moodnya seperti tahun 1995 ketika berlaku perubahan kuasa,” katanya ketika menyampaikan Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Pekan Pasir Besar, Gemas, Negeri Sembilan, malam tadi.

Bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, perjuangannya dalam karier politik untuk menentang Umno berlandaskan prinsip keadilan demi rakyat Sabah.

“18 tahun saya bersama Umno, tapi langsung tiada kemajuan dan pembangunan. Dulu gaji saya RM40,000 tapi sekarang 4 sen pun tak ada.

“Sabah adalah negeri paling kaya dengan hasil minyak sahaja RM20 bilion setiap tahun, tapi jalan raya, air ada masalah, elektrik tiga kali seminggu terputus, bukan salah ibu mengandung, tapi salah pilih kerajaan yang ada sekarang,” katanya disambut gelak 10,000 hadirin.

Tambah Lajim, sikap berterusan Umno itu akan membawa padah dalam PRU akan datang kerana rakyat Sabah sudah hilang kepercayaan kepada mereka.

“Walaupun Tun Mahathir (Mohamad) sendiri pergi kempen ke Sabah, sudah tiada guna. Kerana beliau sendiri akan tenggelam dengan labu-labunya,” katanya.

Lajim sebelum ini mengisytihar keluar BN, malah meletak jawatan sebagai Ketua Cawangan Umno Kerambai Kebatu, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Pengerusi Umno BN Beaufort.

Beliau menubuhkan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) yang menyokong Pakatan Rakyat.
Selain beliau, Ahli Parlimen BN-Tuaran, Wilfred Bumburing turut keluar BN dan menubuhkan Angkatan

Perubahan Sabah (APS) yang juga menyokong Pakatan.

PPPS dan APS menjadi wadah bagi memastikan negeri yang kaya sumber alam tapi paling miskin di Malaysia itu, ditawan Pakatan pada PRU 13.-Keadilandaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...