Monday, January 14, 2013

“Anak kecil main api”, UMNO pengkhianat sebenar rakyat – Anwar Ibrahim


Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertekad untuk memerangi habis-habisan sebarang tindakan rasuah atau sebarang cubaan untuk merompak harta rakyat jika Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah negara.

“Saya berjanji tidak akan berkompromi dengan perkara itu kerana jika wang rakyat itu tidak dirompak ekonomi negara akan lebih maju dan rakyat hidup lebih senang,” katanya.

Beliau juga mahu UMNO-BN menghentikan tindakan mengarut dengan memainkan pelbagai isu perkauman kerana rakyat sekarang sedar dan mereka bangun menuntut keadilan dan hak yang selama ini dinafikan.


Menurutnya, pentadbiran kerajaan BN yang korup menyebabkan ia gagal memerangi gejala kronisme dan rasuah yang mengundang padah kepada negara dan rakyat terpaksa menanggung beban dengan kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Selagi amalan kronisme diteruskan, harga barangan akan terus meningkat termasuk minyak mentah, gula dan sebagainya. Bernas pula tidak dapat menjamin nasib penanam padi, syarikat untung ratusan juta, penanam padi yang majoritinya Melayu, Iban dan Dayak pula hidup menderita,” jelasnya.



Berucap di hadapan lebih 100,000 peserta perhimpunan KL112, Anwar bertekad menghentikan amalan rasuah dan rompakan ke atas wang rakyat jika PR diberi mandat memerintah Malaysia.

“Kita tidak sanggup mengkhianati rakyat, tetapi kita sanggup “khianat” pemimpin yang korup.

“Kalau terpaksa dayung, kami dayung. Dengan tangan kami dayung, dengan jari kami dayung, namun, tidak akan bertolak ansur dengan rasuah dan rompakan. Ini paling besar bagi saya. Kalau ini dapat dikawal, hidup rakyat sudah tentu berubah,” ujar beliau.

Tambahnya, tangisan perwakilan UMNO pada perhimpunan agung mereka yang lalu bukan kerana “gelisah terhadap penderitaan orang Melayu” tetapi terbayangkan itu adalah perhimpunan terakhir mereka.

“Cukuplah mainan soal kaum, bayangkan perhimpunan agung mereka berakhir dengan menangis. Apa yang dinyanyikan? “Nenek moyang kaya raya terbakar seluruh harta benda.”

“Yang terbakar tu sebab apa? Kerana kamu yang curi! Siapa yang rampas tanah rizab Melayu? Siapa yang salah guna kuasa dalam isu Felda? Siapa yang ambil kontrak untung berbillion ringgit? Siapa yang rugikan saham Bumiputera Melayu? Siapa yang curi lembu?” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, UMNO-BN sudah lama diberi peluang memerintah negara dan rakyat sudah cukup sabar dan toleran.

“Sekarang kami minta saudara-saudara beri peluang kepada suara rakyat menjadi suara keramat untuk mentadbir di negara ini.

“Saya ucap tahniah kepada polis yang merasakan ada aliran perubahan dalam kerajaan yang akan datang,” katanya.
Mengulas kenyataan media kawalan kerajaan BN yang sentiasa memfitnah dan memutar-belit isu, Anwar berkata, hanya rakyat yang tahu hakikat sebenar.

“Kamu sebutlah apa pun, kamu sebutlah ada huru hara, kamu sebutlah ini pengkhianatan, kamu sebutlah saya dan Ustaz Hadi menjadi perkakas kepada DAP, kamu sebut apa saja pun, namun rakyat tahu masanya sudah sampai untuk menguburkan kezaliman dan rasuah UMNO,” ujar beliau.

Perhimpunan Kebangkitan Rakyat KL112 yang berlangsung di Stadium Merdeka mencipta satu permulaan baru penuh bersejarah apabila menyaksikan “Merdeka Rakyat” dilaungkan sebanyak tujuh kali oleh ratusan ribu peserta sebagai simbolik kepada kebangkitan era baru Malaysia.

Perhimpunan itu diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diikuti laungan azan dan lagu Negaraku. – Roketkini.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...