Wednesday, January 9, 2013

RM160 juta Lembaga Tabung Angkatan Tentera : Kerabat sedia himpun 40,000 ahli


Seketariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (Kerabat) akan menggerakkan satu himpunan besar-besaran sekiranya tiada sebarang siasatan dilakukan berhubung dakwaan penyelewengan dana RM160 juta Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Pengerusi Kerabat, Leftenan Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, berkata himpunan tersebut akan dilakukan di hadapan pejabat LTAT yang menghimpunkan pelbagai peringkat anggota tentera.

Katanya, Kerabat sendiri mempunyai keahlian seramai 40,000 ahli, maka himpunan itu tidak mustahil untuk diadakan.


Beliau yang memandang serius pendedahan Pakatan Rakyat sebelum ini, berkata isu ini perlu diberi perhatian segera memandangkan ia membabitkan dana para pencarum tentera.

"Kita mahu siasatan segera dilakukan. Jika tidak, kami akan menggerakkan himpunan bagi menyatakan bantahan tentang perkara ini," kata beliau pada satu sidang media, di sini.

Tambah beliau, dana dari tabung tersebut sepatutnya digunakan bagi kebajikan anggota tentera, lebih-lebih lagi ketika terdapat anggota tentera dan bekas tentera yang tidak terbela nasib mereka.

Nazari berkata pihaknya turut bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Panglima Tentera bagi membincangkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa anggota tentera, bekas tentera dan ahli keluarga tentera untuk bersama-sama membuat laporan polis di seluruh negara agar satu siasatan dilakukan berkenaan pendedahan isu tersebut.

"Inilah masanya, anggota tentera, bekas tentera dan ahli keluarga tentera bangkit untuk menyatakan hak mereka untuk membuat laporan polis di seluruh negara," tegas beliau yang bercadang membuat laporan polis bermula dari 13 hingga 16 Januari ini.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan wang pencen itu digunakan dalam urus niaga melibatkan bayaran RM30 juta untuk membeli 80 peratus saham terbitan Astacanggih dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd (Awan Megah).

Urus niaga itu, katanya, dibiayai sepenuhnya oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah miliki penuh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Sedangkan, modal dan aktiviti Boustead Holdings Berhad banyak bergantung kepada caruman dari potongan gaji anggota tentera yang disalurkan melalui LTAT,” katanya pada sidang media, sebelum ini.

Rafizi berkata, bayaran RM130 juta terhadap 200 ekar tanah yang statusnya masih belum dipindah milik kepada Awan Megah sekaligus bermakna Zahid Hamidi mengambil RM130 juta dari caruman anggota tentera.

Wang itu kemudian digunakan untuk membayar syarikat milik seorang pimpinan Umno tanpa sebarang tukaran aset kerana tanah berkenaan belum dipindah milik kepada Awan Megah.

“Nilaian RM130 juta bagi 200 ekar tanah itu pula dibuat semata-mata atas dasar persetujuan antara penjual dan pembeli tanpa menggunakan penilaian bebas,” katanya.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...