Thursday, January 3, 2013

PKR dedah dokumen pembelian berlian


PKR hari ini mendedahkan beberapa dokumen mengenai pemindahan wang yang dibuat oleh syarikat-syarikat ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

Pemindahan wang oleh Carpet Raya Sdn Bhd dan Carpet Plus Sdn Bhd kepada syarikat-syarikat barang kemas mewah di Hong Kong itu dikaitkan dengan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur yang dibayar oleh beliau.

Bagaimanapun, nama Rosmah tidak tercatat dalam mana-mana slip pemindahan wang tersebut.


Ini kerana, segala serahan pembelian itu dibuat kepada orang tengah termasuk di Singapura.

Isnin lepas, sebuah buku bertajuk 'Black Ros 1.0' mula disebarkan yang juga mengandungi cerita dan dokumen berkaitan pembelian belian sebegini.

Buku ini merupakan siri pertam kerana menurut sumber, sebuah lagi buku bertajuk 'Black Megic Woman' pula akan diterbitkan.

Namun, Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli menunjukkan salah-satu dokumen tersebut yang mengandungi satu email dari seorang kakitangan sebuah syarikat permata di Hong Kong yang mempunyai nama Rosmah.

Dokumen yang ada dengan saya ini turut mengandungi invois dan penyata hutang dari dua buah syarikat barang kemas mewah di Hong Kong iaitu Firestone Co Ltd dan Dehres Ltd," kata beliau dalam sidang media di Ibu pejabat PKR, Tropicana hari ini.

Menurut Rafizi, invois Dehres Ltd dialamatkan dan dibilkan kepada sebuah syarikat kawalan Deepak, bagi pembelian satu lot berlian bernilai USD115,000 (bersamaan RM408,250).

"Carpet Raya Sdn Bhd membayar jumlah yang sama iaitu USD115,000 kepada Dehres Ltd seperti yang dibuktikan dengan slip permohonan kiriman wang oleh Carpet Raya Sdn Bhd," katanya.


Dokumen juga mengandungi beberapa invois dari Firestone Co Ltd. Salah satunya adalah bertarikh 10 Mac 2009 bagi pembelian beberapa barang kemas. Salah satu dari barang kemas yang dibeli adalah cincin berlian bernombor Lot DR2763.

Pembelian barang-barang kemas mewah bernilai USD1.5 juta (bersamaan RM5.325 juta) dibayar dengan beberapa kiriman wang seperti yang dibutirkan di dalam penyata hutang yang dikeluarkan oleh Firestone Co. Ltd.

"Kiriman wang kepada Firestone Co. Ltd. bertarikh 14 April 2009 itu padan dengan slip permohonan kiriman wang yang dibuat oleh Carpet Raya Sdn Bhd bertarikh 13 April 2009.

"Ini menguatkan dakwaan Deepak bahawa pembelian barang kemas mewah dari Firestone Co. Ltd. dibayar oleh beliau melalui syarikat-syarikatnya," kata Rafizi lagi.

Justeru, Rafizi menegaskan, dakwaan Deepak bahawa beliau membayar pembelian barang kemas mewah berjumlah RM13 juta dalam tempoh 3 bulan oleh Rosmah adalah satu dakwaan yang sangat serius, apatah lagi apabila beliau menampilkan dokumen-dokumen sebagai bukti.

"Sebab itu, tindakan tergopoh-gapah Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengheret dana pencen anggota tentera untuk membayar RM160 juta kepada Deepak dan Ketua Wanita Umno Selangor seolah-olah mengiyakan pandangan umum bahawa beliau mula panik dengan pendedahan yang dibuat oleh Deepak," katanya.

Beliau juga berkata, perkara ini wajar disiasat sepenuhnya dan beberapa laporan kepada pihak berkuasa akan dibuat dalam tempoh seminggu dari sekarang berkenaan perkara ini agar ia dapat disiasat segera.-Harakahdaily


No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...