Sunday, January 6, 2013

Ustaz Hadi cabar Majlis Fatwa hantar surat rasmi


Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan surat rasmi berkenaan keputusan mengenai ‘Amanat Haji Hadi’.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan amanat itu bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam dan kemuliaan agama serta prinsip dakwah Islamiah, beliau menafikan menerima sebarang surat daripada mufti tersebut.

“Saya tidak menerima surat dari Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya cabar Majlis Fatwa hantar surat kepada saya. Dia (Majlis Fatwa) tak panggil saya.


“Surat rasmi pun tidak ada…atas angin sahaja. Bukan boleh atas angin begitu…bukan ‘meniaga’ ni dan kalau berniaga pun tidak boleh atas angin. Ini soal agama,” tegasnya.

Beliau berkata ‘amanat’ itu merupakan satu petikan daripada ucapan beliau yang dibuat di Banggol Peradong 31 tahun yang lalu.

Ustaz Abdul Hadi menjelaskan beliau tidak pernah menamakan ucapan tersebut sebagai amanat tetapi dibuat oleh pihak lain.

“Amanat itu satu petikan, saya tidak menamakan ‘amanat’ tetapi orang lain yang menamakan ‘amanat’ dan yang beri nama ‘amanat’ itu termasuk Umnolah.

“Bukan saya menamakan ‘amanat’, ia petikan ucapan saya selepas itu dibentang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu. Ketua Biro Agama Umno bentang dan saya bangun (jawab)…betul, itu ucapan saya. Masa itu kenapa tidak hujah, selepas 30 tahun baru hendak hujah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat jenazah allahyarham Tengku Zaliha binti Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Maqam Diraja Masjid Abidin, di sini petang tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan isu penjelasan amanat tersebut bukan sekadar pilihan raya tetapi kerana hari akhirat.

Menurutnya, jika Perdana Menteri atau mufti enggan bersemuka di atas dunia, maka tunggulah pada hari akhirat ketika mengadap Allah SWT.

“Saya akan mati, mufti-mufti juga akan mati, Perdana Menteri mati, saya mati…kita mengadap Tuhan. Tuhan yang akan menentukan betul atau pun salah. Jika tidak atas dunia ini..akhiratlah. Kita bertemu dengan Tuhan jika atas dunia tak mahu bertemu,” tegasnya.

Justeru, Ustaz Abdul Hadi tetap bertegas mahukan ruang penjelasan selama satu jam bersiaran di RTM milik kerajaan kerana PAS tidak memiliki media yang menyeluruh.

“Saya tetap mahukan (siaran langsung) supaya masyarakat berlaku adil. Adil ini kena dengar semua pihak dan dengan cara itulah, sebab kita tiada media.

“Biar rakyat tahu…dia (rakyat) dengar semua barulah (faham). Ini dengar sebelah pihak, macam mana.

“ Kena dengar dulu apa yang saya hendak kata, supaya masyarakat dengar betul atau tidak apa yang saya hendak kata,” ujarnya.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...