Saturday, January 12, 2013

KL112: Jalan Panjang Menuju Kemerdekaan Sebenar


Kurang 24 jam, satu sejarah akan dicatatkan dalam lembaran tahun 2013. 12 Januari 2013 akan menyaksikan sejuta rakyat Malaysia berhimpun secara aman melalui Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Himpunan KL112 ini merupakan satu manifestasi dan simbol kemenangan rakyat dalam memperjuangkan kebenaran dan kemerdekaan sebenar. Puluhan tahun rakyat ditekan, dipasung kebebasan berfikir, dan juga disekat hak kebebasan berhimpun, KL112 akan menyaksikan rakyat berhimpun secara aman dalam satu senario yang harmonis.


Sejarah membuktikan zaman-berzaman, perhimpunan rakyat seolah-olah satu ancaman kepada keselamatan negara. Dan persepsi ini terus dibina dalam imiginasi rakyat khususnya selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah sehingga ke satu tahap digelar sebagai anarkis.

Tetapi sejarah juga membuktikan bagaimana rakyat yang kritis suaranyatetap melunaskan hak untuk berhimpun dengan aman, asal saja tidak ada provokasi daripada mana-mana pihak yang bacul untuk memahami erti demokrasi.

12 Januari 2013 akan menyaksikan satu langkah permulaan kepada jalan panjang menuju kemerdekaan sebenar rakyat!

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memuji profesionalisme pihak polis untuk ‘memudahcarakan’ perhimpunan ini, meskipun ada pihak-pihak tertentu yang berusaha untuk mengacau ganggu.

Rakyat segenap lapisan menaruh harapan agar polis dapat bertindak profesional dan adil, dan memulakan langkah memperbaiki imej polis yang teruk terjejas sebelum ini. Dan profesionalisme polis dalam memudahcarakan perhimpunan KL112 adalah diharapkan untuk kembali membela rakyat, bukan membuli seperti sebelumnya.

Buat sekalian anak muda Malaysia,

Kudrat dan upaya kalian untuk sama-sama turun berhimpun di dalam KL112 adalah amat dihargai. Kalian adalah generari pembaharuan masa depan Malaysia. Suara anak muda yang bebas dan cakna-lah yang akan menentukan masa depan negara, bukannya tunduk mengalah pada acuan penguasa yang menghulur telunjuk mengarah itu dan ini tanpa asas.

Pakatan Rakyat dan seluruh NGO yang berjuang, menyatakan iktikad dan iltizam untuk menghidangkan resipi utama perubahan politik negara, dengan menjulang amalan demokrasi luhur melalui tuntutan sistem kenegaraan yang lebih adil dan demokratik.

Ayuh rakyat Malaysia!

KL112 destinasi kita!

Demi Malaysia yang lebih adil dan saksama!

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

k/daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...