Saturday, January 19, 2013

Projek IC di Sabah: Mahathir patut dianggap pengkhianat negara


Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menganggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga sebagai pengkhianat kerana terbabit memberi kad pengenalan (IC) dan hak mengundi kepada warga asing semata-mata untuk mempertahankan kuasa politik UMNO di Sabah.

Beliau berkata, jika Dr Mahathir belum bersedia untuk tampil memberi penjelasan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Sabah dan membersihkan namanya daripada tuduhan pengkhianat, lebih baik dia menutup mulut dan tidak bersuara dan mengatakan perkara secara kebetulan.


Katanya, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali juga sudah menggelarkan Dr Mahathir sebagai pengkhianat negara berikutan pendedahan di Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Tanpa Izin (RCIII) berkenaan perancangan “kewarganegaraan untuk undian” di Sabah sekitar tahun 1990an.

“Semalam, beberapa bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberitahu RCI di Kota Kinabalu bahawa mereka diarah bagi memudahkan pendatang tanpa izin untuk mengundi ketika 1990-an dan membantu menaikkan kerajaan negeri yang mesra BN.

“Operasi itu termasuk mengeluarkan resit kad pengenalan (KP) kepada pengundi yang sememangnya wujud kepada pendatang tanpa izin dan mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang tanpa izin yang tidak layak yang dikenali sebagai Projek IC atau Projek M yang mana “M” bermaksud Mahathir,” katanya dalam kenyataan media Pengiraan Detik 84 hari ke PRU-13, semalam..

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, dua pemimpin kepercayaan dan orang kanan Mahathir ketika itu turut dibabitkan oleh saksi di hadapan RCI dalam penipuan kewarganegaraan-untuk-undian di Sabah. Mereka ialah bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Perdagangan Dalam dan Hal Ehwal Pengguna, Megat Junid Megat Ayub dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Aziz Shamsuddin.

Menurutnya, sekiranya pertuduhan mengenai “Resit IC untuk undi” Projek IC atau Projek M dan “kewarganegaraan-untuk-undi” yang dibuat di RCIII itu benar dan tiada sebab untuk mengesyaki kebenaran mereka memandangkan perkara itu menjadi rahsia umum di Sabah, bukan saja di dalam penghakiman 2001 Hakim Datuk Muhammad Kamil Awang dalam petisyen pilihan raya yang membatalkan keputusan Dewan Undangan Negeri Likas pada 1999 kerana kewujudan beribu nama pengundi “hantu” yang diragui di dalam daftar pemilih, tetapi juga pengakuan di dalam ruang awam oleh bekas pegawai UMNO Sabah dan kakitangan kerajaan yang tebabit dalam penipuan itu, seperti Mutalib Mohd Daud, Karim Ghani dan Hassnar Ebrahim, maka jenayah pengkhianatan telah dilakukan.

“Azmin juga telah membangkitkan satu persoalan yang tepat dan penting iaitu adakah Tun Mahathir bersalah di dalam penipuan “Resit IC-untuk-undi” dan dalam Projek IC atau Projek M di Sabah pada tahun 1990an,“ ujarnya.

Tambahan pula, katanya, adakah dua orang kanan Mahathir yang kemudian dilantik Menteri Kabinet iaitu Megat Junid dan Aziz Shamsuddin, turut bersalah di atas pengkhianatan mereka kerana terbabit dalam penipuan “Resit IC-untuk-undi” dan “kewarganegaraan-untuk-undi” di Sabah. – Roketkini.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...