Tuesday, April 19, 2011

Pastikan BN Sarawak jatuh dalam PRU 13 - Anwar

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua rakyat Sarawak yang mahukan perubahan jangan kecewa dengan keputusan pilihan raya baru-baru tetapi tingkatkan usaha untuk jatuhkan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

"Saya menyeru kepada rakyat Sarawak yang mahukan Perubahan dan cintakan Keadilan, tingkatkan usaha, jangan sesekali berputus asa, terus mara dan pastikan regim yang korup ini tumbang pada pilihanraya yg akan datang," kata Anwar (gambar) dalam kenyataannya.

Dalam PRN Sarawak 16 April lepas, BN mendapat 55 kerusi, Pakatan Rakyat (15) dan Bebas satu.

Di kalangan Pakatan pula, DAP mendapat 12, PKR tiga manakala PAS tidak mendapat sebarang kerusi daripada lima yang ditandingi.


Pilihanraya Negeri Sarawak 2011 membuktikan perjuangan menuntut Keadilan untuk semua tanpa mengira batas kaum mahupun kepercayaan bukanlah tugas mudah, namun ianya juga bukan mustahil, kata Anwar.

"Walaupun tidak mengecapi keputusan yang diingini, kita berjaya menanam benih politik murni agar rakyat Sarawak meninggalkan politik perkauman sempit, berani melawan kezaliman yang sekian lama membelenggu dan berusaha memperkukuh amalan Demokratik," katanya.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan sepanjang tempoh berkempen, berbekalkan sumber yang terhad serta berilitizam dengan kempen yang bersih, Pakatan Rakyat tetap berjaya menembusi kawasan pendalaman, yang sentiasa dianggap kubu kuat Barisan Nasional, katanya.

Sungguhpun demikian, kata Anwar, sekali lagi kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pilihanraya tercalar kerana wujudnya laporan bahawa Suruhanjaya itu bertindak berat sebelah ataupun sengaja menutup mata terhadap sebarang penipuan ketika hari pengundian.

"Saya difahamkan petugas Parti Keadilan Rakyat dinafikan borang 14 di beberapa kawasan sedangkan borang ini penting untuk memastikan keputusan pilihanraya bersih dari penipuan," katanya.

Selain itu terdapat juga laporan wujudnya usaha membeli undi di beberapa kawasan seperti Dudong, Bawang Assan dan Meradong.

Keengganan SPR untuk mengira semula undi di kawasan Senadin ternyata mengukuhkan lagi dakwaan ramai bahawa Suruhanjaya Pilihanraya bertindak demi kepentingan Barisan Nasional, katanya.

Calon Parti Keadilan Rakyat, Dr Michael tewas dengan majoriti yang tipis iaitu 58 undi sahaja di Senadin.

"Mengapa enggan mengira semula tanpa memberi alasan yang munasabah?" dakwa Anwar.

Bagi beliau, keputusan ini bukanlah satu pengakhiran, bahkan yakinlah ianya satu permulaan kepada satu tuntutan perubahan yang jitu dan menyeluruh. Pastinya ini tidak dapat dicapai sekiranya rakyat Sarawak tidak bersama sama memastikan ianya terlaksana.

"Kepada seluruh rakyat Sarawak dan jentera Pakatan Rakyat, saya ucapkan terima kasih dan syabas kerana keberanian serta pengorbanan yg dicurahkan. Dengan izin Allah, kemenangan pasti tiba," katanya.-Hrkh

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...