Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap lebih 900,000 akan melakukan perubahan ke arah membina Sarawak baru – dengan mengundi calon Pakatan Rakyat – yang menjanjikan “keadilan dan kesejahteraan” untuk semua rakyat, Sabtu ini.
Sehubungan itu kata Mursyidul Am PAS ini, mematuhi ingatan Allah ini, “kita hendaklah melakukan sesuatu itu dengan niat beribadat kerana ibadat itu akan mendapat pahala.”
“Pahala pula adalah bekalan untuk kita hidup aman-sejahtera selepas kita mati (berada di akhirat) nanti,” kata beliau dalam perutusan kepada pengundi bumi Kenyalang menjelang hari penentuan pilihan raya negeri Sarawak ke-10, Sabtu ini.
Menteri Besar Kelantan ini (gambar) berkata, apabila mengundi itu diniatkan sebagai ibadat, maka ia sama juga dengan sembahyang.
“Apa yang kita dapat dari sembahyang adalah pahala. Maka mengundi itu juga kita akan dapat pahala. Pahala adalah umpama duit yang yang boleh berjual-beli ketika di alam akhirat (hidup selepas mati),” katanya lagi.
Kata beliau, apa yang penting pengundi hendaklah mengundi calon dan parti yang membawa kebaikan dan membela nasib kita untuk hidup aman sejahtera.
“Sesungguhnya calon Pakatan Rakyat, sama ada dari PAS, DAP dan PKR adalah terdiri daripada mereka yang layak untuk dipilih.
“Ini kerana semua mereka memiliki kesungguhan dan sedia membela nasib dan hak kita semua,” katanya.
Kata Nik Aziz, yakinlah mengundi seorang calon yang layak, pastinya akan dapat berkhidmat dengan baik kepada kita semua.
“Ia adalah satu amal ibadat yang mulia, dan pasti mendapat restu Tuhan ke arah mencapai hidup yang aman sejahtera,” katanya lagi.
Pilihan raya negeri ke-10 menyaksikan kesemua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri ditandingi – kali pertama sejak 1987.
Barisan Nasional (BN) yang memerintah negeri itu sejak Sarawak menyertai Malaysia hampir lima dekad lalu berhadapan dengan saingan paling sengit.
Awal hari ini Datuk Seri Najib Razak, perdana menteri dan pengerusi BN berkata, pihaknya hanya menyasarkan untuk mengekalkan kerajaan negeri, tidak kisah jika tidak memperoleh majoriti dua pertiga-TMI
No comments:
Post a Comment