Perdana Menteri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dituduh memperalatkan 1Malaysia Development Berhad dan sebuah syarikat asing untuk menghasilkan lebih RM2.17 bilion bagi memperkayakan kroni, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara lain, 1MDB diarah melakukan urusniaga dengan PetroSaudi yang menyaksikan syarikat kaitan kerajaan itu membayar firma Arab Saudiberkenaan RM3.5 bilion secara tunai untuk pegangan saham dalam sebuah pelaburan.
Anwar berkata Najib tidak menyatakan fakta penting bahawa 1MDB hanya akan memperolehi hasil daripada jualan itu jika PetroSaudi berjaya melunaskan pinjaman bank selama 11 tahun yang cuma akan selesai dibayar pada 31 Mac 2021.
“Ini bermakna lebih 70 peratus daripada modal berbayar 1MDB iaitu RM5bilion kini terikat kepada pinjaman bank (sebuah syarikat asing) dengan tidak ada kepastian sama ada ia akan dibayar balik atau tidak,” kata Anwar dalam satu kenyataan.
“Hari ini kita ada penyata kewangan 1MDB yang mendedahkan salahguna wang kerajaan tanpa rasa malu yang dilakukan Barisan Nasional dan bagaimana mereka berterusan menyalahgunakan kekayaan negara,” kata Anwar.
Dalam kes Sarawak pula, Anwar berkata PetroSaudi membayar RM1.5 bilion untuk mengambil alih UBG Berhad, sebuah syarikat yang menguasai kepentingan perniagaan milik keluarga Taib Mahmud.
UBG mengalami pelbagai kesukaran tahun lalu, apabila sekali lagi PetroSaudi tampil untuk mengambil alih syarikat itu dalam keadaan mencurigakan.
Anwar mendesak penubuhan sebuah pasukan audit untuk menyiasat urusniaga 1MDB, PetroSaudi dan UBG untuk memastikan sama ada wang rakyat digunakan dalam transaksi antara tiga syarikat berkenaan.
Sebarang pinjaman bank kepada 1MDB harus dibekukan, dan rancangan kerajaan untuk memindahkan sebidang tanah awam di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur kepada syarikat itu juga mesti dihentikan, kata Anwar.
Anwar menegaskan siasatan harus bertumpu kepada pihak yang mendalangi 1MDB bagi memastikan amanah yang diberikan kepada syarikat itu tidak tersasar.
Anwar berkata PetroSaudi dan syarikat sekutunya didaftar di pusat-pusat bebas cukai seperti Kepulauan Caymans dan Virgin Islands.
Justeru transaksi antara PetroSaudi dan 1Malaysia tidak mempunyai ketelusan dan akan terus diselubungi dengan kecurigaan.-Tvsnews
No comments:
Post a Comment