Ketika ini, generasi muda sedang bermesra dengan Twitter, Facebook dan Youtube, yang suatu ketika dahulu, peranan ini dimainkan oleh media massa khususnya media cetak, tv, radio dan blog. Kemesraan generasi muda yang mula mengundi buat kali pertama dalam PRU 13 dengan Twitter, Facebook dan Youtube ini cukup merisaukan.
Apa tidaknya, Perdana Menteri (PM) Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak kini sedang menggunakan "alat" ini untuk mencari kawan-kawan, kononnya mahu membuktikan bahawa beliaulah PM yang paling dekat dengan generasi muda.
Padahal, ia sebenarnya lakonan. Mana mungkin generasi muda boleh dekat dengan PM sedangkan ketua-ketua Umno bahagian dan Ahli Parlimen BN pun, hanya boleh bertemu dengan Najib sekali, selepas dua tahun Najib menjadi PM.
Ingat, PM berjumpa mereka ini, dalam satu kumpulan enam orang, secara terbuka dan disertai Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta beberapa orang pegawai PM, bagi membuktikan PM tidak mudah untuk ditemui secara empat mata.
Jika PM ke Sarawak dan mengadakan jamuan minum petang dengan sekumpulan generasi muda yang dikatakan kawan FB, Twitter kepada PM, ia hanyalah satu lakonan dari seorang yang terlalu inginkan undi dalam pilihan raya.
Yang penting, Najib harus tahu, dua tiga ratus orang yang ditemuinya ini, tidak mungkin dikenalinya secara perseorangan, kecuali mahu memberi publisiti kepadanya sebagai seorang PM, beliau berusaha untuk bertemu dengan generasi muda, yang semakin sukar dibaca sifir politiknya.
Apakah dengan lakonan Perdana Menteri, seluruh anak muda yang terlalu mesra dengan Youtube, Twitter dan FB akan menyokong Najib dan menyokong BN? Walaupun itu bacaan Najib dan mereka yang menjaga Twitter dan FB pemimpin-pemimpin BN, hakikatnya terlalu jauh lagi untuk ini dijadikan kayu pengukur bahawa generasi muda ini akan menjadi penyokong BN.
Namun, Najib dan mereka yang terpaksa mengujudkan FB, twitter dan menggunakan youtube untuk diihat dekat dengan rakyat, hakikatnya sudah terlalu banyak yang rakyat tahu mengenai kepimpinan kerajaan. Saban hari rakyat membaca berita betapa besarnya kerugian yang kerajaan tanggung akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa kastam. Rakyat tahu jabatan kastam itu terletak di bawah Kementerian Kewangan dan menterinya ialah Najib sendiri.
Rakyat juga mendengar bagaimana kecohnya isu KOMSAS Interlok, hingga beberapa individu ditahan polis. Padahal isu itu, jika menteri yang bertanggungjawab pantas menyelesaikannya, ia tidak berpanjangan dan boleh diselesaikan segera, tanpa mengundang rasa tidak puashati mana-mana pihak.
Menteri yang bertanggungjawab terhadap isu ini ialah Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri. Apakah rakyat tidak tahu bahawa beberapa orang pegawai Imigresen sudah didakwa di mahkamah kerana isu rasuah?
Siapa menteri yang bertanggungjawab menjaga Imigresen jika bukan Naib Presiden Umno, Dato' Seri Hishammuddin Hussein. Begitu juga dengan pelbagai isu yang melanda Kementerian Pertahanan walaupun menterinya, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlepas dari isu orang Cina dan India kurang patriotik, menyebabkan mereka kurang menganggotai Angkatan Tentera.
Jadi, apakah generasi muda masih tergamam dengan lakonan Najib yang mahu menutup semua kelemahan ini, menjamu teh dan sedikit makanan, dengan alasan menemui mereka yang menjadi sahabat FB dan Twitternya?
Tidak semudah yang disangka. Generasi muda hari ini, khususnya mereka yang bermesra dengan Twitter, FB dan Youtube sebenarnya mempunyai corak pemikiran yang berbeza dengan cara berfikir mereka yang gagal menjaga Jabatan Kastam, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Imigresen.
Semua kelemahan ini bukan boleh ditutup dengan minum petang bersama Perdana Menteri, atas tiket sahabat FB dan Twitter, kerana dalam masa yang sama, rakyat mahukan ketelusan, kejujuran dan bukan mereka yang bergelumang dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Jadi, jangan sesiapa terkejut jika Hosni Mubarak di Mesir boleh hilang kuasa hanya kerana pengaruh media baru ini dan ia dimulakan seorang anak muda yang terlalu mentah dari segi usia dan pengalamannya. Inilah yang BN cuba lakukan. Semua menteri seperti diarahkan untuk mempunyai rakan-rakan FB dan Twitter seperti Najib sendiri.
Malangnya, kebanyakkan menteri tidak mampu membuat majlis dan jamuan seperti Najib buat dengan rakan-rakan FB dan Twitternya. Ini menunjukkan, hasrat Najib seperti gagal diterjemahkan oleh rakan-rakan sepasukannya.
Anak-anak muda sebenarnya laparkan maklumat. Generasi ini mencari maklumat seperti mereka mencari peluang pekerjaan. Pantang mereka dengar ada majlis, mereka akan cuba hadiri dan ikuti. Mereka akan terus mencari dan melayari – kerana mereka tahu, mereka tidak boleh bergantung kepada akhbar-akhbar milik penguasa.
Jangan terkejut jika jumlah edaran akhbar harian arus perdana merosot teruk. Ini kerana anak-anak muda sudah beralih angin. Mereka sudah menjadikan blog sebagai media untuk santapan minta mereka. Mereka boleh bertwit dengan sesiapa sahaja dan mereka boleh berfacebook dengan rakan-rakan FB mereka untuk mendapatkan sebarang maklumat yang mereka perlukan.
Jadi, keputusan PRU 13 akan datang, bakal ditentukan dengan pengaruh Twitter, Facebook dan Youtube. Walaupun pembangkang diserang begitu hebat oleh akhbar arus perdana, ia hanyalah kegemparan biasa dan tidak seperti dilanda tsunami.
Namun, tsunami akan menyerang BN kali ini, dengan budaya berfacebook dan Twitter yang banyak membantu. Apakah terdaya semua pemimpin BN mengepung dan mengawal maklumat yang tersebar seperti tersebarnya virus H1N1 ini?
Tentulah jawapannya tidak. Jadi, apakah cara yang paling wajar bagi BN untuk mengekalkan kuasa – tidak lain ialah menggunakan "saluran fitnah" yang boleh mereka buat termasuk dengan video, media cetak, radio dan tv yang mereka kawal selain menyusun konspirasi.-sanggahtoksago
Sumber: Catatan Safar Jumaat, penulis yang rapat dengan serambi kuasa Umno-BN.-
No comments:
Post a Comment