Al-Quran adalah petunjuk kepada semua manusia ..
Al Quran bukan buku cerita atau buku sejarah. Ia adalah pedoman dan pembimbing manusia mengenal diri, tanggungjawab dan siapa Tuhannya.Sebab itu kisah-kisah dalam al Quran harus digarap dan difahami demi mencari pengajaran dan teladan yang boleh dijadikan petunjuk pada semua masa dan persekitaran.
Cerita Nabi Yusuf alaihi salam (a.s.) misalnya, amat relevan dengan kehidupan dahulu, kini dan selamanya.
Ketika mengupas kisah ini dan hubungannya dengan realiti sosial, ekonomi dan politik hari ini, ahli pemikir Dr Sidiq Fadzil menyerlahkan betapa serasinya al Quran ini digunakan untuk umat manusia di Malaysia membaca suhu politik, dan ragam kemanusiaan rakyat serta pemerintahnya.
Beliau menghuraikan bahawa manusia memang sukar menceraikan sikap dan perasaan dengki.
Ia biasa menjeruk jiwa sesiapa dan dalam persekitaran apa jua. Dalam kes Nabi Yusuf a.s, yang dengki kepadanya ialah adik beradiknya sendiri. Alasan dendam dan dengki mereka amat lumrah – berebut kasih sayang. Atau, mungkin juga kerana kekurangan unsur itu dalam diri.
Didorong sifat dengki kerana kononnya Yusuf a.s. kononnya lebih disayangi oleh bapa, Yaakob a.s, mereka pun melakar konspirasi untuk memadamkan kehadiran Yusuf a.s. dalam persekitaran hidup mereka. Kisahnya: Yusuf a.s. dibuang ke dalam telaga.
Di sebalik itu al Quran pun mendedahkan helah manusia (dalam kes ini adik beradik Nabi Yusuf a.s. sendiri) mereka cipta bukti palsu dengan melumur darah kambing pada baju Yusuf dan dikemukakan kepada bapa mereka kononnya adik mereka itu telah dibaham serigala. Kecurangan begini masih berulang hingga hari ini hingga kepada usaha “menanam” DNA sebagai bukti.
Nabi Yusuf ditemui kafilah yang lalu dekat telaga ketika mencari air. Namun gerombolan ini mengambil kesempatan penemuan ini dan menjadikan modal niaga. Yusuf dijual sebagai hamba sahaya. Iktibar daripada ini, kata Dr Sidiq ialah, meskipun menjadi hamba, kemuliaan Yusuf tidak luntur. Dia tetap pilihan Allah.
Maka dikurniakan Yusuf pelbagai keelokkan – rupa diri, syaksiah dan kebijaksanaan yang tinggi. Ini menimbulkan ghairah pelbagai pihak untuk memiliki dan menguasainya.
Maka terjadilah fitnah lebih besar terhadap Yusuf. Meskipun terbukti bukan dia menggoda isteri Al Aziz, majikan Yusuf, bahan fitnah berbaur seks ini menyebabkan lebih ramai yang berkepentingan di Mesir yang mahu Yusuf dipenjara.
Sifat dengki dan dendam kesumat menjadi inti konspirasi. Maka ramailah yang tampil berbohong tentang “kejelekan” peribadi Yusuf dan terperosoklah baginda dalam penjara.
Status banduan tidak melunturkan kemuliaan Nabi Yusuf a.s. Ilmu tamsil mimpi dan sifat abidnya kepada Allah, menjadi jatidirinya. Dia terus jadi pedoman banduan lain dan sentiasa diberi penghormatan dan dimuliakan.
Yang signifikannya ialah apabila Yusuf dapat menafsirkan mimpi raja. Lebih istimewa lagi, Yusuf juga mampu menampilkan pelan induk ekonomi untuk Mesir.
Nasib Yusuf berubah ketika itu. Bukan sahaja ditawarkan kebebasan, tetapi pelan ekonomi Yusuf mendorong Raja memberinya tanggungjawab menguruskan ekonomi negara. Yang mengkagumkan ialah, Yusuf tidak segera menerima tawaran Raja itu.
Nabi Yusud mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat mengapa beliau dipenjara.
Setelah terbukti nasib malang Yusuf itu berpunca daripada konspirasi yang membabitkan soal seks, dan namanya kemudian dibersihkan, barulah Yusuf menerima tanggungjawab sebagai penguasa ekonomi negara.
Yusuf sedar, di hadapan Allah, tiada guna pangkat atau nama jika soal maruah tidak diutama.
Pengajaran daripada kisah Yusuf ini ialah soal dengki tidak pernah mati dalam diri mana-mana manusia dan tamadun. Yang jadi persoalan ialah bagaimana mengawalnya.
Rentetan itu, soal naluri seks juga tidak pernah lekang daripada jiwa manusia. Maka yang menjadi persoalannya ialah bagaimana pula ia harus dikendali dan jangan dijadikan modal konspirasi sesama insan.
Bayangkan betapa besarnya aib yang menimpa diri ketika usia telah lanjut apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja membongkar di depan mata anak cucu bahawa diri terbabit dalam konspirasi seks hanya kerana ketika itu hendak mengekalkan kuasa, kedudukan dan pangkat?
Sifat buruk ini memang ada pada manusia. Sebab itu al Quran diturunkan untuk menjadi pedoman supaya mengelak mengulang kesilapan dan keterlanjuran manusia silam.
Lebih penting daripada itu, kata Dr Sidiq, setiap insan mesti meyakini bahawa ujian ada di mana-mana.
Lebih besar status dan kaliber seseorang itu, maka lebih getirlah ujian yang dihadapinya. Namun paksi ujian ialah bagaimana menundukkan kedengkian sesama insan.
Dan, lebih penting lagi, ialah bagaimana mengenal dan mengelak diri terjerumus dalam sikap kepetualangan itu. Kisah seperti pengalaman Nabi Yusuf menunjukkan betapa tema kedengkian manusia – memadamkan kehadiran saingan dengan cara fitnah dan membunuh serta motif politik bertema rasuah dan seks sentiasa jadi juadah konspirator untuk menundukkan lawan politik mereka; dari zaman ke zaman.
Maka jika kita percaya pada Allah dan sentiasa mengintai kebijaksanaan dan pedoman yang diselitkan dalam kisah-kisah Al Quran, maka tidak mungkin kita gusar akan fitnah dan cabaran dunia ini.
Sebagai tunjang iman, kita percaya balasan Allah akan tetap berlaku terhadap yang memfitnah dan juga yang difitnah. Jika tidak di dunia, orang beriman yakin, di akhirat nanti ada ganjaran dan hukumannya.
Sebab itu Allah menjanjikan Yaumil Masyar, Syurga dan Neraka.-Tvsnews
No comments:
Post a Comment