Saturday, April 23, 2011

Ambil Kesepakatan Kaum Cina Dari Sudut Positif-Khalid Samad



PAS menyeru masyarakat untuk menilai dasar kesepaduan kaum Cina menuntut corak politik yang bersih dan bebas dari rasuah sejajar dengan tuntutan Manifesto Pakatan Rakyat.

Justeru parti itu berpendapat, kesepakatan masyarakat Cina harus digabung secara kolektif bersama kaum lain untuk menolak amalan korup Barisan Nasional yang boleh menggugat keharmonian negara berbanding melihatnya dari aspek perkauman yang menebal.

Hakikatnya menurut ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, pandangan seperti ini hanya melunaskan kepentingan politik pihak tertentu dan menjadikan politik di negara ini tidak berkembang secara sihat.

"Mereka ini membuat politik yang tidak bertanggungjawab dan sanggup merosakkan suasana dalam masyarakat demi mempertahankan kepentingan Umno dan kepimpinan yang mengamalkan rasuah," jelas beliau.


Bercakap kepada Tv Selangor, Khalid menjelaskan bahawasanya orang Melayu tidak perlu khuatir dengan kesepaduan yang ditunjukkan masyarakat Cina di Sarawak pada pilihan raya baru-baru ini dengan memilih DAP.

Ini kerana katanya bukan tujuan parti untuk merampas kekuasaan politik tanahair daripada kaum Bumiputera sebaliknya memberi mesej kepada BN bahawa politik rasuah semakin tidak mendapat tempat di hati rakyat.

"Seruan DAP kepada masyarakat Cina ialah supaya sokong parti yang akan memperjuangkan kepentingan masyarakat keseluruhan, menegakkan sebuah pemerintahan yang telus dan bebas rasuah. Maka mereka sokong atas dasar itu, bukan perkauman," kata beliau.

Kenyataan tersebut susulan ulasan kontroversi oleh Timbalan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan Rabu lalu dalam petikannya bertajuk "Ayuh! Gerakkan 1Melayu 1Bumi" yang terus mendapat kecaman pelbagai pihak.

Komentar yang menyeru kaum Melayu untuk bersatu kerana khuatir akan kebangkitan masyarakat Cina di negara ini dianggap keterlaluan selain mencabar Perdana Menteri Najib Razak supaya meninggalkan dasar 1Malaysia.

Khalid juga menyifatkan taktik Umno-BN yang menggunakan lidah rasmi parti itu dalam cubaan untuk mewujudkan semangat rasis di kalangan masyarakat Melayu luar bandar sebagai usaha mengalih perhatian daripada isu negara yang lebih serius.


"Mereka melakukan itu kerana mereka tahu kalau mahu bahas isu yang sebenar mereka tidak akan mampu untuk mempertahankan kedudukan mereka," katanya.

Susulan itu mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut merasakan kebimbangan sekiranya dasar yang cuba dibawa oleh Utusan Malaysia tersebut akan  diterjemahkan sehingga ke peringkat wujudnya sistem dua parti di negara ini.


Tambahan pula slogan "1Melayu 1Bumi" yang dicadangkan itu turut disokong Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang terkenal dengan kumpulan ekstrem pro Melayu.-Tvs

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...