Friday, February 22, 2013

UMNO perlu menjadi pembangkang untuk kebaikan negara dan parti itu sendiri


Tali hayat UMNO sudah begitu halus dan bila-bila masa boleh putus dan menjatuhkan parti itu. Kalau hendak di kira dari sudut politiknya, tidak ada sebab kenapa UMNO itu mesti wujud lagi dan akan di ketepikan oleh rakyat kali ini. UMNO hanya bergantung kepada kuasa wang dengan pembelian undi melalui BRIM dan berbagai-bagai kaedah lagi. Parti itu hanya bergantung kepada kekeliruan rakyat dalam membuat pemilihan kerana ini lah kali pertama membuat keputusan untuk memberikan sokongan kepada parti-parti alternatif negara.


Menghadapi tekanan rakyat ini amat merunsingkan UMNO kerana parti itu belum berpengalaman menjadi pembangkang. Tidak seperti parti-parti yang ada di negara demokrasi yang maju, UMNO belum pernah di jatuhkan dan berasa amat perit untuk menanti saat-saat masuk ke Dewan-Dewan Legislatif sebagai pembangkang. Dalam demokrasi setiap parti wajar bersedia untuk ditewaskan dalam pilihanraya. Kalah dalam pilihanraya ini seperti manusia yang wajib menghadapi mati. Mati itu wajib dan begitu juga lah parti-parti yang berada di dalam mana-mana demokrasi di dunia ini.

Parti Labour Britain dan Parti Conservative negara itu telah bergilir-gilir mentadbir negara mengikut kemahuan dan kehendak rakyat nya. Begitu juga di Amerika Syarikat di mana parti Demokrat dan Republican telah hampir seratus kali bertukar-tukar tempat duduk di dalam Dewan Legislatif mereka.

Di Malaysia oleh kerana inilah kali pertama parti pemerintah merasakan mereka akan mengambil giliran untuk duduk di petak pembangkang, mereka merasakan ketakutannya. Bebagai-bagai cara untuk berkubu dari serangan dan pengaruh parti pembangkang dilakukan oleh UMNO dan BN. Kekalahan kepada UMNO dan pemimpin merupakan saat-saat masuk neraka dan memisahkan UMNO dengan rakyat yang mengundi itu ibarat memisahkan kulit dari daging. Masih ada sedikit lagi sikap dan kepercayaan orang ramai khususnya orang Melayu yang kekalahan UMNO itu merupakan nasib malang yang menimpa negara dan rakyat.

Momokan ini sudah di tanam sejak setengah abad dan ia sebati dalam benak orang Melayu terutamanya di kalangan yang dewasa dan tua. Kebobrokkan UMNO begitu tebal sehinggakan orang yang cerdik dan pandai pun menjadi bingung setelah menyertai UMNO kerana pengaruh budaya songsang yang terbentuk dalam parti itu sudah se begitu lama. Mereka yang pandai berfikir pun akan hilang kemampuan untuk berfikir secara rasional apabila aktif dalam UMNO.

Bukan sedikit di antara mereka yang berpelajaran tinggi yang terikut-ikut dengan budaya buruk UMNO itu. Rupa-rupanya pelajaran dan pendidikan tidak dapat menyaingi sikap mengampu dan membodek yang telah terbentuk dalam parti itu selama ini. Kita melihat melalui kaca TV hampir setiap hari dalam mana ahli-ahli akademik yang bergelar Professor dan Vice Chancellor Universiti di negara ini bersama-sama menyanyikan lagu lama yang di nyanyikan oleh UMNO selama ini.

Professor-Professor ini di berikan ruang dalam saluran TV tempatan menyanyikan lagu-lagu yang bersenikata ciptaan UMNO. Di antara nya ialah ‘tidak ada UMNO negara akan berkecai dan Melayu akan hilang di dunia ini’. Lagu yang akhir-akhir ini yang di nyanyikan oleh Mahathir ialah pembangkang tidak berpengalaman untuk memerintah dan bermacam-macam lagi yang membayangkan kesombongan pimpinan UMNO yang beranggapan hanya UMNO mampu mentadbir negara.

Dr Mahathir lebih tahu yang Pakatan Rakyat telah berjaya mentadbir negeri-negeri yang di tadbirnya dan inilah yang menyakitkan Dr Mahathir. Mahathir tidak ada sayangnya kepada negara tetapi beliau hanya mahukan rakyat mendengar nasihat beliau untuk kepentingan beliau sendiri. Beliau sedaya upaya mengarahkan segala kesalahan kepada Abdullah Badawi sedangkan Abdullah ada lah pilihanan beliau sendiri.

Sekarang ternyata Abdullah Badawi lebih berhemah setelah bersara dan tidak membuka mulut busuknya untuk memberikan racun yang berbisa kepada rakyat. Abdullah tidak bercakap semborono sahaja sedangkan Mahathir masih berleter sedangkan leteran beliau itu hanya di anggap seperti leteran orang tua yang sedang sakit terlantar sahaja. Mahathir sentiasa berada di dalam kerugian kerana beliau sudah tidak lagi menjadi seorang yang bergelar negarawan negara. Ciri-ciri seorang negarawan sudah hilang dari beliau. Beliau tidak akan mendapatkan ciri-ciri negarawan itu sampai bila-bila.

Seorang yang berjiwa bersih tidak akan merasa gusar seumur hidupnya. Seorang yang tidak melakukan kesalahan tidak akan merasa resah dan gundah gulana dan sebagai seorang rakyat negara demokrasi beliau tidak seharusnya merasakan kehilangan kuasa dari rakyat itu akan menjadikan beliau hidup dalam kesedihan. Sampai masa untuk menjadi pembangkang, jadilah pembangkang yang baik. Mahathir sendiri pernah menasihatkan kita semua, untuk menjadi pemimpin yang baik, perlu merasakan dan mengalami sebagai pengikut yang baik.

UMNO mesti ikut contoh-contoh yang baik.yang kita lihat di rantau kita sahaja. Liberal Demokrat Jepun telah kembali berkuasa setelah di ketepikan oleh rakyat Jepun beberapa ketika. Congress Party of India telah kembali berkuasa setelah parti itu diketepikan oleh rakyat negara demokrasi terbesar di Asia itu. Apa yang boleh menghalang UMNO untuk berkuasa kembali setelah Pakatan Rakyat memerintah barang sepenggal dua. Tetapi perbaiki lah moral parti itu dahulu semasa berada di petak pembangkang.

Jadilah parti yang tidak boleh di persepsikan oleh rakyat sebagai parti yang rasuah. Selagi UMNO tidak berundur buat sementara, UMNO tidak mungkin akan mampu untuk memperbaiki diri. Lagi pun sememangnya sampai masanya untuk pembangkang pula menjadi kerajaan. Jika Mahathir mengatakan pembangkang tidak mempunyai pengalaman untuk memerintah negara, nah…kali ini kita beri peluang. Kita boleh tengok sendiri samada tohmahan Mahathir, Najib dan lain-lain terhadap pembangkang itu benar atau tidak.

Apa yang kita hendak resahkan. Yang akan mengganti pentadbiran kerajaan ialah parti PAS, DAP dan PKR, bukannya parti komunis dari mana-mana negara. Sebaliknya pula UMNO perlu membuktikan yang parti itu mampu menjadi pembangkang yang baik untuk menyuburkan demokrasi negara dengan lebih baik dan menjadi ikutan masyarakat antarabangsa.

Saya selalu membuat anologi memimpin negara ini biarlah ibarat kita bermain gasing. Orang bermain gasing akan memusing dan memangkah gasing itu secara bergilir-gilir. Selama ini hanya pembangkang terutamanya PAS dan DAP sahaja yang memusing gasing untuk dipangkah. Sekarang UMNO ambil lah giliran untuk memusing gasing untuk PAS, DAP dan PKR pula mengambil giliran untuk memangkah. Baru kita tahu pihak mana yang lebih baik sebagai pemangkah dan pihak mana yang lebih baik sebagai pemusing gasing.

Sepatutnya pemimpin-pemimpin UMNO beriya-iya untuk memberikan pembangkang peluang untuk mentadbir negara ini bagi membuktikan pembangkang itu tidak tahu mentadbir negara.ini. Jika terbukti pembangkang tidak boleh mentadbir, barulah UMNO dapat membuktikan tuduhan mereka itu benar. Barulah UMNO boleh kembali untuk berkuasa jika di restui rakyat dan di izin Tuhan.

Apabila UMNO menjadi pembangkang semasa itu barulah UMNO sedar yang selama ini mereka berkuasa hanyalah kerana bergantung kepada rakyat yang keliru (confused) oleh momokan mereka (UMNO) selama ini. Semasa itu nanti barulah UMNO dapat memperbaiki sikap mereka dan tahu yang sebuah parti itu tidak boleh melakukan rasuah dan berniaga di atas sokongan rakyat.

Selama ini pemimpin UMNO hanya memperniagakan rakyat dengan bermodalkan rakyat yang memberikan mereka mandat itu. Semasa itu nanti barulah UMNO tahu yang pemimpin tidak boleh mengambil wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaan anak-anak mereka yang gagal seperti yang berlaku ke atas Mirzan Mahathir dahulu.

Dalam waktu UMNO duduk di petak pembangkang, barulah UMNO akan tahu bahawa kos projek yang di naikkan kerana hendak komisyen itu menjadikan harga pembekalan alat peperangan tentera itu menjadi mahal dan di bayar oleh rakyat. Masa itu nanti barulah UMNO tahu bahawa memberikan pelajaran percuma dan menghapuskan tol lebuhraya seperti yang ingin dilakukan oleh Pakatan Rakyat itu benar-benar boleh dilaksanakan.

Perlaksanaan pendidikan percuma dan menghapuskan tol itu tidak membankrapkan negara. Menghapuskan tol itu hanya akan memberhentikan kutipan yang dilakukan oleh pemegang ‘konsessioner’ lebuhraya yang telah mengutip wang rakyat ramai hampir-hampir RM30 billion bagi lebuhraya utara selatan sahaja. Setiap keluarga akan beruntung kerana dapat menggunakan sumber kewangan mereka dalam jumlah ribuan ringgit setahun untuk perbelanjaan yang lain.

Pemberian BRIM itu tidak membawa apa-apa erti kerana RM500 atau seribu ringgit sekali sekala yang rakyat terima itu akan di gunakan untuk membayar saman AES sahaja. Tetapi pemberian pelajaran percuma melibatkan setiap rakyat yang belajar merasakan nikmatnya sedangkan BRIM yang sejemput itu hanyalah untuk satu keluarga sahaja.

Itu sebabnya penting pemimpin UMNO duduk di petak pembangkang kerana mereka selama ini tidak tahu yang pengurusan kewangan yang baik dan telus itu boleh memberi faedah kepada rakyat ramai.

Dalam masa menjadi pembangkang itu juga UMNO boleh belajar yang pemimpin tidak payah membawa penyanyi pop antarabangsa untuk berkempen. Semasa itu juga UMNO akan tahu jika negara ditadbir dengan baik, maka rakyat tidak perlu menanggung beban perbelanjaan besar untuk pemimpin berkempen keseluruh negara dengan kos yang tinggi. UMNO akan tahu kewibawaan pimpinan dan kebersihan pimpinan itu sendiri akan berkempen untuk kerajaan yang berkuasa.

Semasa itu nanti barulah UMNO sedar yang selama ini parti mereka itu sepatutnya menjadi pembangkang lebih lama dahulu. Mana-mana pemimpin UMNO yang sedar dan mahu memperbaiki diri mereka akan sedar dan mengakui bahawa selama ini UMNO tidak sepatutnya berada sebagai kerajaan sebegitu lama.

Tetapi bak kata perpatah Inggeris, ‘better late than never’. Jika kita tidak lakukannya dalam pilihanraya ini, ia akan terlalu lewat untuk memperbaikinya. Kita lakukan sekarang ‘and it’s now or never’.



Cedit to > AspanAlias.Net

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...