Thursday, February 7, 2013

Himpunan HAK 01 desak RCI siasat seleweng LTAT


Sekretariat Kebajikan Rangkaian Bekas Anggota Tentera Malaysia (Kerabat) akan menggerakkan satu himpunan membabitkan ahlinya.

Himpunan yang dinamakan HAK 01 sebagai usaha menuntut satu suruhanjaya siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan berkaitan dakwaan berlaku penyelewengan dana tabung Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Presiden Kerabat, Lt. Kol TUDM Mohd Nazari Mokhtar, berkata satu siasatan perlu dilakukan segera sama ada dakwaan tersebut benar atau sebaliknya.


Sehubungan itu, pihaknya menuntut satu RCI bagi menyiasat dakwaan tersebut yang didedahkan PKR sebelum ini.

Bagaimanapun, tambah beliau sebelum HAK 01 berlangsung, pihaknya kini dalam rangka kerja menjelajah seluruh negara bagi menerangkan keperluan tuntutan tersebut.

"Kita kini sedang dalam rangka jelajah seluruh negara untuk memaklumkan kepada rakyat kenapa perlu satu RCI diwujudkan. Selepas itu, barulah HAK 01 digerakkan," tegas beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, HAK 01 belum diputuskan tarikhnya, namun dicadangkan diadakan dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, beliau mendesak pihak LTAT dan pihak terbabit untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan tersebut, namun tiada sebarang respons sehingga hari ini.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mendedahkan wang pencen itu digunakan dalam urus niaga melibatkan bayaran RM30 juta untuk membeli 80 peratus saham terbitan Astacanggih dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd (Awan Megah).

Urus niaga itu, katanya, dibiayai sepenuhnya oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah miliki penuh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Sedangkan, modal dan aktiviti Boustead Holdings Berhad banyak bergantung kepada caruman dari potongan gaji anggota tentera yang disalurkan melalui LTAT,” katanya pada sidang media, sebelum ini.

Rafizi berkata, bayaran RM130 juta terhadap 200 ekar tanah yang statusnya masih belum dipindah milik kepada Awan Megah sekaligus bermakna Zahid Hamidi mengambil RM130 juta dari caruman anggota tentera.

Wang itu kemudian digunakan untuk membayar syarikat milik seorang pimpinan Umno tanpa sebarang tukaran aset kerana tanah berkenaan belum dipindah milik kepada Awan Megah.

“Nilaian RM130 juta bagi 200 ekar tanah itu pula dibuat semata-mata atas dasar persetujuan antara penjual dan pembeli tanpa menggunakan penilaian bebas,” katanya.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...