Kehadiran sekumpulan mahasiswa yang menamakan diri mereka Gerakan Mahasiswa PRU 13 atau GM13 di Pekan telah mencetus kemarahan orang-orang Najib sehingga kumpulan mahasiswa itu diganggu, dimaki hamun malah ada mahasiswa perempuan yang dikasari serta ditarik tudung mereka. Walaupun kerajaan telah membuat keputusan membenarkan mahasiswa aktif dalam gerakan politik luar kampus dan bertanding dalam pilihanraya, insiden yang berlaku di Pekan iaitu kawasan pilihanraya Najib sendiri memperlihatkan bahawa UMNO dan Perdana Menteri sebenarnya masih tidak bersikap terbuka dalam perkara ini.
UMNO dan Najib sebenarnya hanya mahu mahasiswa menyokong UMNO dan kerajaan tetapi tidak bersedia membenarkan mahasiswa menyokong pihak lain.
Sebelum ini GM13 telah pun membuat keputusan untuk meletakkan calon mereka bertanding Pekan sebagai mesej bantahan golongan mahasiswa terhadap kepimpinan Najib. Blog ini sendiri beberapa bulan lalu ada menyiarkan artikel berdasarkan maklumat daripada sumber pelajar Universiti Malaysia sendiri tentang kemungkinan mahasiswa meletakkan calon menentang Najib dalam pilihanraya akan datang ini.
Kini semuanya sudah sahih. Mahasiswa akan bertanding di Pekan. Dan kehadiran mereka di Pekan baru-baru ini ialah untuk mengedarkan risalah kepada penduduk mengenai hasrat itu serta isu-isu yang melingkari kehidupan mahasiswa yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan Najib. Ia sebagai petanda awal keseruisan mereka untuk meletakkan calon menentang Najib di Pekan.
Malangnya kehadiran mahasiswa itu telah menimbulkan rasa kurang senang segelintir puak dalam UMNO Pekan dan mereka telah dikacau-ganggu serta dikasari. Klip video mengenainya kini tersebar luas di dunia maya dan jelas memperlihatkan bagaimana UMNO Pekan yang dipimpin oleh Najib sebenarnya tidak bersikap terbuka dengan amalan demokrasi.
Najib seolah-olah tidak boleh diganggu oleh sesiapa sedangkan beliau sebelum ini mengatakan Anwar dan PR akan mencetuskan huru-hara jika kalah pilihanraya. Beberapa pemimpin UMNO lain termasuk Mahathir juga mengeluarkan kenyataan yang serupa. Anwar dan PR dianggap tidak akan berdiam diri jika kalah pilihanraya akan datang ini akan mencetuskan keadaan yang tidak aman. Keupayaan Anwar menggerakkan kebangkitan rakyat dalam beberapa isu seperti peristiwa Baling 1974, selepas dipecat daripada kerajaan pada 1998 dan beberapa siri demonstrasi sejak kebelakangan ini telah dijadikan sandaran untuk mengaitkan Anwar dan PR dengan huru-hara yang kononnya bakal berlaku itu.
Tetapi sekarang dengan sekumpulan puak dalam UMNO Pekan cuba berlagak samseng dan mencetuskan huru-hara terhadap mahasiswa di Pekan jelas membuktikan bahawa UMNO dan Najib bukan saja tidak sedia menerima kekalahan, malah tidak sedia menghadapi tentangan sekalipun. Jika benar bersikap terbuka dan kerajaan sendiri membenarkan mahasiswa aktif dalam politik, kehadiran mahasiswa di Pekan itu seharusnya disambut dengan tangan terbuka.
Walaupun kumpulan mahasiswa yang dikasari itu terpaksa pulang tergesa-gesa ke Kuala Lumpur kerana bimbang keselamatan diri terancam tetapi mereka tetap akan kembali lagi ke kawasan itu dengan matlamat yang sudah dimuktamadkan.
Selain di Pekan, beberapa insiden ala samseng dan kacau ganggu terhadap ceramah dan program PR juga sudah banyak kali didengari dan dilaporkan sebelum ini. Selain kenderaan dirosakkan dan bas jelajah merdeka Anwar disimbah cat, beberapa insiden lain yang berupa gangguan seperti merosakkan poster dan gangguan melalui kumpulan anak muda bermotosikal turut juga berlaku sejak kebelakangan ini.
Semua ini memperlihatkan seolah-olah UMNO dan BN mula menggerakkan sesuatu jika kalah pilihanraya nanti. Mereka bukan saja tidak sedia kalah di Pekan tetapi juga tidak sedia terlepas Putrajaya. Amaran Najib sebelum ini bahawa Putrajaya akan dipertahankan dengan apa cara sekali pun adalah cerminan awal bahawa tindakan ganas dan huru-hara bakal berlaku jika mereka kalah nanti.
Tetapi untuk melindungi hasrat terlindung itu, Anwar dan PR telah dituding akan mencetuskan huru-hara walaupun hakikatnya pembangkang di negara ini telah dapat menerima kekalahan dalam pilihanraya sejak 12 kali pilihanraya yang lalu lagi. Tiap kali pembangkang kalah, tiada huru-hara yang tercetus.
Berbeza dengan UMNO dan BN, mereka telah menang 12 kali pilihanraya yang lalu tetapi kemungkinan akan kalah kali ke 13 ini. Sudah tentu kuasa yang dipegang selama 12 kali pilihanraya itu mahu dipertahankan lagi. Keseronokan terlalu lama berkuasa mungkin menyebabkan nikmat kuasa itu tidak mahu dilepaskan semudah itu.
Walaupun UMNO berhujah bahawa mereka juga sedia menerima kekalahan dan huru-hara tidak pun berlaku setelah kalah di Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dalam pilihanraya tetapi kekalahan di di peringkat negeri dengan kekalahan di peringkat Pusat adalah berbeza. Lagi pula dalam pilihanraya lalu, kekalahan di beberapa negeri itu tidak disangka dan mereka tidak sempat merancang sesuatu. Ketika itu mereka alpa dan tidak bersedia apa-apa.
Kali ini UMNO nampaknya macam sudah bersedia. Apa yang berlaku di Pekan dan beberapa insiden kacau-ganggu terhadap PR memperlihatkan UMNO dan BN lebih berpotensi mencetuskan huru-hara berbanding PR jika kalah dalam pilihanraya nanti.
Kebimbangan UMNO Pekan akan kemungkinan Najib bakal kalah di Pekan bukannya tidak berasas. Ini kerana Najib dalam pilihanraya 1999 cuma menang tipis 241 undi, malah ada laporan mengatakan Najib sebenarnya sudah pun tewas ketika itu. Ketika suasana cemas dan kelam-kabut waktu itu, tiba-tiba dikatakan muncul beberapa karung undi pos yang akhirnya menyebabkan Najib cuma menang 241 undi saja. Cemas tapi lega akhirnya.
Meskipun sejak hampir kalah pada 1999 itu, proses penambahan pengundi baru giat dijalankan di Pekan termasuk dakwaan wujudnya beberapa perkampungan baru yang dihuni oleh rakyat asing dan Najib menang dengan puluhan ribu undi dalam pilihanraya selepas itu tetapi hakikatnya bukanlah sesuatu yang mustahil Najib boleh dikalahkan di situ.
Kacau ganggu dan tindakan ala samseng terhadap mahasiswa di Pekan baru-baru ini tidak lebih memperlihatkan kebimbangan UMNO dan BN mengenai masa depan Najib sendiri. Kuasa Najib cuba dipertahankan dengan cara menakut-nakutkan penentangnya dan sudah tentu kumpulan ini akan mencetuskan kekacauan jika Najib tewas. Jika di Pekan ia boleh berlaku, tidak mustahil ia juga boleh digerakkan di tempat-tempat lain.
Malah jika di Pekan Najib cuba dipertahankan dengan lagak ala samseng dan ugutan, kuasa Najib di Putrajaya juga boleh dipertahankan dengan kaedah yang sama. Huru-hara dan kekacauan lebih berpotensi berlaku jika BN tewas dan Najib kehilangan jawatan Perdana Menterinya
Credit to >ShahbudinDotCom
No comments:
Post a Comment