Friday, February 1, 2013

Dasar transformasi Najib gagal: Kerajaan BN patut ditukar pada PRU-13


Kerajaan Persekutuan yang diperintah Barisan Nasional (BN) patut ditukar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti kerana kegagalan slogan dan dasar transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Katanya, ini termasuk sikap berpura-pura Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) menyiasat pendatang tanpa izin di Sabah, risiko tinggi Malaysia dalam rasuah pertahanan dan kedudukan kebebasan akhbar paling buruk.


Beliau berkata, hampir setiap hari rakyat Malaysia dihidangkan dengan bukti kegagalan slogan dan dasar transformasi Najib termasuk siasatan RCI Sabah yang sudah masuk minggu kedua pendengaran awam.

“Rakyat Sabah dan Malaysia bimbang kerana RCI tidak akan mampu menggali kebenaran hingga ke dasar mengenai tindakan menghalalkan pendatang tanpa izin di Sabah menyebabkan penduduk negeri itu meningkat lima kali ganda daripada 600,000 pada 1970 kepada 3.3 juta sekarang mengikut komen seorang pembaca Malaysiakini.

“Bagaimanapun kecacatan sebenar RCI adalah lapan syarat yang ditetapkan tidak termasuk mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab melakukan pengkhianatan terhadap negara di dalam skandal “kewarganegaraan untuk undi” di Sabah – atau secara terperinci menyiasat dan mengenalpasti dalang Projek M dan Projek IC,” katanya dalam kenyataan media mengenai Pengiraan Detik 71 Hari ke PRU-13, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, RCI Sabah akan berakhir dengan sia-sia melainkan RCI Sabah dimasukkan syarat tambahan untuk menyiasat dan mengenalpasti dalang Projek M dan Projek IC di Sabah.

Bagaimanapun, katanya, adakah Najib Razak bersedia memasukkan syarat kesembilan dalam RCI Sabah bagi menyiasat dan mengenalpasti dalang Projek M dan Projek IC dan mencadangkan tindakan diambil terhadap pengkhianat negara.

“Kedua, pemantauan ketelusan antarabangsa yang terkemuka melaporkan Malaysia berada pada kedudukan berisiko tinggi rasuah dalam perbelanjaan pertahanan dan operasinya dan meletakkan Malaysia seiring dengan negara seperti Bangladesh, Pakistan, China, Russia, Kazakhstan dan Jordan.

“Di dalam Indeks Anti-Rasuah Pertahanan Kerajaan, analisis global pertama terhadap risiko rasuah di dalam pertahanan seluruh dunia yang dikeluarkan Transparency International UK semalam, Malaysia mendapat D- di dalam kumpulan antara A hingga F.

“Kedudukan itu membuktikan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) gagal meletakkan antara keutamaan tertinggi memerangi rasuah, memandangkan indeks anti-rasuah terbaru selepas kajian selama dua tahun dilakukan antara Julai 2011 dan November 2012 – memberikan tamparan hebat kepada GTP dan NKRA Najib yang berlangsung sejak empat tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, di kalangan negara Asean, Singapura dan Thailand, pencapaian Malaysia kedua-duanya mendapat D+, manakala Indonesia dan Filipina di belakang Malaysia dalam kumpulan E.

Setiap kerajaan dinilai dalam lima bidang berkemungkinan ada risiko rasuah pertahanan – politik, kewangan, kakitangan, risiko operasi dan perolehan. Malaysia memperoleh mata terendah di dalam risiko kewangan dan operasi iaitu 25 dan 10 peratus daripada jumlah 100 peratus.

Laporan bahagian negara ke atas Malaysia mendapati “Kelemahan rasuah politik adalah tinggi, memandangkan tidak terdapatnya jawatankuasa pertahanan dan keselamatan dan peranan Parlimen di dalam sektor itu pula terhadap pada sekadar meluluskan belanjawan agregat dan umum.

“Ketiga, Malaysia menjunam ke kedudukan terendah dalam sejarah yakni ke-145 di dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2013 – paling buruk sejak Reporters Without Border (RSF) memulakan indeks tahunan itu pada 2002.

“Di bawah tajuk yang tidak menarik iaitu “Cambodia and Malaysia: drift towards authoritarianism” bagi Asia Tenggara, RSF menyatakan kedudukan kebebasan akhbar Malaysia 2013 “mempamerkan rekod menyedihkan iaitu jatuh 23 pada kedudukan lebih rendah berbanding yang diperoleh pada 2002”, kerana “kempen menekan kerajaan, seperti yang digambarkan melalui tindakan keras terhadap protes Bersih 3.0 pada April tahun lalu dan usaha penapisan, berterusan melemahkan kebebasan asas dalam hak memperoleh maklumat,” katanya. – Roketkini.com

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...