Thursday, February 7, 2013

LTAT Astacanggih: Pengerusi Bousted diminta jelaskan

(Mahfuz dan rakan-rakannya melihat dokumen yang ditunjukan Deepak mengenai pembelian saham Astacanggih)

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa Pengerusi Boustead Holdings Berhad tampil memberikan penjelasan berhubung pembelian Astacanggih Sdn Bhd milik ahli perniagaan, Deepak Jaikishan.

Beliau berkata, penjelasan itu penting kerana pembelian tersebut didakwa melibatkan wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang sepatutnya digunakan untuk kebajikan anggota tentera.

"Kepentingan anggota tentera dalam LTAT tidak dilindungi kerajaan sebaliknya pembelian Astacanggih menunjukkan LTAT ditipu.


"Pengerusi Bousted perlu tampil ke hadapan untuk jelaskan kepada anggota tentera siapa yang mengarah beliau untuk mengambil alih Astacanggih yang akhirnya membawa kepada satu kerugian yang besar kepada LTAT.

"Sudah tentu ada tangan ghaib di belakang Bousted untuk membuat pembelian itu," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Sebelum itu, Mahfuz mengadakan pertemuan dengan Deepak membincangkan permintaan Deepak yang ingin mendapatkan bantuan PAS bagi mendapatkan perlindungan saksi agar beliau terus boleh membuat beberapa pendedahan penting.

Dalam kenyataannya di sidang media itu, Deepak berkata, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak perlu menyaman Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli apabila Rafizi mendakwa dia mengarahkan pembelian itu.

"Sebenarnya yang membuat arahan pembelian ini bukannya Zahid tetapi Datuk Seri Najib Sendiri.

"Jadi saya memohon Zahid supaya menarik balik saman kepada Rafizi itu kerana ia sudah jelas sekarang," kata Deepak dalam sidang media itu.

Bagi Mahfuz, apa yang berlaku kepada tanah LTAT amat mengharukan semua pihak.

"Bayangkan tentera kita berjuang untuk rakyat dan negara, tinggalkan negara untuk berkhidmat di seluruh dunia tetapi mereka dikhianati apabila kepentingan mereka tidak dilindungi bahkan tabung mereka, LTAT ditipu," kata Mahfuz.

Mahfuz berkata, dokumen yang ditunjukkan oleh Deepak kepada beliau amat mengejutkan tentang jenayah penyelewengan oleh pemimpin negara.

"Oleh itu saya minta pengerusi Bousted tampil ke depan dan jelaskan siapa sebenarnya yang mengarahkan beliau membeli syarikat milik Deepak ini yang membawa kerugian besar kepada kepentingan anggota dan bekas tentera.

"Saya minta beliau tampil sebelum dikambing hitamkan," kata Mahfuz.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...