Wednesday, February 13, 2013

‘Tidak’ untuk BN musnah jutaan ringgit buat Najib


Apa yang akan selamanya dikenang tentang Tahun Baru Cina Najib di Pulau Pinang adalah video satu minit yang sudah tersebar luas lebih hangat berbanding Psy dan Gangnam Style – ketika Najib bertanya kepada hadirin di Sekolah Han Chiang sama ada mereka bersedia untuk Psy dan bersedia untuk BN.

Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang berkata sebenarnya gema tiga kali “Ya” untuk soalan Najib sama ada orang ramai telah bersedia untuk Psy diikuti dengan gema yang sama kuat dan spontan tiga kali “Tidak” ketika Najib bertanya sama ada mereka bersedia untuk BN telah memusnahkan keyakinan tinggi untuk menang besar dalam PRU13 yang dibina Najib.


Katanya, kejadian itu lebih memusnahkan peluang pilihan raya Umno BN dalam PRU13 berbanding Bersih 2.0, Bersih 3.0 atau Himpunan Kebangkitan Rakyat KL112 – lebih-lebih lagi apa ia adalah kemusnahan yang ditimpakan ke atas diri.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu menambah, kejadian itu telah mencalarkan gambaran indah yang dicipta pemimpin dan propagandis Umno BN akan menang besar dalam PRU13, bukan sahaja dengan majoriti dua pertiga parlimen malah untuk memenangi semula negeri-negeri yang kini ditadbir Pakatan Rakyat termasuklah Pulau Pinang.

Menurutnya, melihat kembali kelak, apabila sejarah PRU13 dicatat, kemunculan Psy dan Gangnam Style dengan tiga “Ya” untuk Psy dan tiga “Tidak” untuk BN, akan meninggalkan kesan di dalam sejarah politik Malaysia menandakan bermulanya pengakhiran buat Najib dan penguasaan penuh Umno di dalam politik Malaysia.

Walaupun Najib dan Umno BN telah mengalami tamparan dalam pusingan akhir ke PRU13, pemimpin, ahli dan penyokong Pakatan Rakyat hendaklah tidak terlebih yakin dan menganggap perlawanan ke Putrajaya sudah pun dimenangi.

“Saya sentiasa berpandangan bahawa hasil PRU13 sukar ditentukan siapa pemenangnya walaupun Umno BN mempunyai kelebihan juga kerana penyalahgunaan kuasa,” ujarnya.

Katanya, PR masih boleh memenangi PRU13 untuk membentuk Kerajaan Persekutuan memandangkan tempoh kempen pilihan raya adalah kunci penting dan terakhir menentukan siapa akan menjadi pemenang.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...