Komitmen rakyat keluar mengundi paling penting untuk mengelak penipuan kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah.
“Untuk mengurangkan kadar penipuan yang kita lihat masih banyak berlaku, rakyat mesti keluar mengundi. Itu cara untuk kurangkan penipuan jika tidak mahu hak itu diambil,” katanya ketika dihubungi.
Beliau mengulas kajian Projek Analisis Daftar Pemilih Malaysia (Merap) yang mendapati lebih 160 individu berumur 90 dan ke atas, termasuk beberapa individu berusia 100 tahun, mendaftar sebagai pengundi baru sejak pilihan raya umum lepas.
“Ia membuktikan terlalu banyak isu yang belum diselesaikan oleh SPR. Ramai juga orang awam yang mengadu mereka tidak pernah mengundi tetapi nama sudah ada dalam sistem SPR,” katanya.
“Kita tahu sistem pilihan raya tidak 100 peratus bersih. Kita faham akan ada ‘administrative error’, tetapi kesilapan yang menjangkau berpuluh tahun seperti isu tersebut menimbulkan keraguan,” jelas Maria.
Menurutnya, Bersih kecewa kerana SPR tidak bertanggungjawab menjalankan tugas, malah tidak amanah dan sukar untuk membersihkan senarai daftar pemilih.
“Satu rumah ada beratus-ratus orang, IC (kad pengenalan) lama digunakan semula oleh orang lain, ini semua menimbulkan persoalan,” tegasnya.
“Justeru itu, menjelang PRU 13, kita akan lancarkan kempen ‘Keluar Mengundi Lawan Penipuan’,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga menyeru pengundi berdaftar yang berada di luar negara pulang ke Malaysia untuk mengundi dan tidak menggunakan undi pos.
Katanya, ini memandangkan syarat ditetapkan SPR bagi pengundian pos di luar negara didakwanya sangat keliru dan meragukan.
Beliau merujuk syarat SPR mengatakan warganegara yang pernah berada di Malaysia atau kembali ke negara ini tidak kurang daripada 30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum tarikh pembubaran Parlimen.
Peraturan itu, katanya mengelirukan dan tidak adil bagi pengundi di luar negara.
“Syarat tersebut tidak boleh dilaksanakan. Ia tidak adil untuk pengundi. Peraturan yang dikeluarkan tidak lengkap. Banyak kekeliruan tentang pengundi pos,” katanya.-Keadilandaily
No comments:
Post a Comment