Tuesday, February 12, 2013

Politik Malaysia Masih Lagi Zaman Purba..Masih Politik Darjat Rendah.


Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malsyia (Mapim) amat kesal darjat politik di negara ini sudah menurun dari politik serius untuk mengurus kehidupan rakyat menjadi politik menabur wang dan menghidang hiburan kepada rakyat.

Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, sekarang politik pecutan terakhir yang sedang digerakkan ialah menaburkan lagi wang yang tersisa untuk rakyat dan menghimpunkan rakyat dengan hiburan mega walaupun berbelanja besar untuk membayar artis luar sehingga mencecah RM2 juta.

“Kami mempersoalkan serendah mana lagi parti pemerintah mahu bawa rakyat dan negara ini dalam berpolitik,” ujarnya dalam satu kenyataan.


Kenyataan beliau seterusnya seperti di bawah.
Kami senaraikan kerendahan berpolitik yang sangat memalukan yang dilakukan oleh peneraju pemerintah negara sepanjang tempoh berkempen untuk PRU13 yang bakal diadakan:

1. Menyebar bahan lucah untuk memfitnah lawan politik

2. Mempertajamkan politik perkauman untuk meraih undi kaum tertentu.

3. Mengguna isu agama untuk mempolemik dan menegangkan perhubungan antara penganut agama.

4. Mengguna wang dan janji peruntukan besar untuk ditabur kepada rakyat.

5. Menjemput artis luar dengan bayaran tinggi untuk menghimpun rakyat.

7. Membeli wakil rakyat untuk mengkhianati undi rakyat.

8. Mengerah jabatan awam untuk mengguna seluruh peruntukan bagi menabur wang kepada rakyat diluar bajet yang direncanakan.

9. Mengguna media awam untuk menyerang parti lawan tanpa memberi peluang parti lawan untuk menjawab serangan.

10. Mengguna pihak keselamatan untuk menekan parti lawan.

11. Mengguna kumpulan samseng untuk mengganggu dan menyerang majlis parti lawan.

Dari senarai di atas kami menjangka martabat berpolitik di negara ini tidak lagi menuju kepada kematangan dan menilai politik sebagai perjuangan yang mulia dan dihormati tetapi sudah jatuh ket ahap politik murahan yang sangat memalukan.

Kini menjemput artis terkenal dari Korea yang menelan belanja yang tidak munasabah dihidangkan kepada rakyat hanya dengan tujuan untuk menarik kehadiran rakyat dan mencelah peluang untuk berkempen.

Malah ada wakil rakyat yang terlalu ghairah untuk turut menari di pentas bersama artis tersebut hanya untuk mencari populariti murahan.

Tabiat seperti ini samasekali bukan lagi menyumbang kepada politik sihat dan bermaruah tinggi tetapi terjebak dengan politik lucah dengan tarian yang bertentangan dengan nilai timur apatah lagi nilai agama.

Kami juga amat prihatin betapa artis tempatan meluahkan rasa tidak puas hati bila pihak penganjur mengenepikan mereka untuk memberi layanan lebih utama kepada artis luar.

Keluhan mereka bahawa janji pihak kerjaaan untuk memberi pelbagai insentif kepada industri dan artis tempatan ternyata menghampakan.

Kini tiba-tiba seorang artis luar ditampilkan hanya untuk menghimpun peminat dan mengambil kesempatan untuk berkempen sempenan perayaan Tahun Baru Cina dengan belanja besar yang melampau.

Kami lebih kesal jika pihak pemerintah melalui penganjur dan penaja mampu mengeluar belanja sebesar itu untuk seorang artis luar, bagaimana pula nasib sekolah desa dan sekolah agama yang masih daif tidak mendapat peruntukan sebesar itu untuk ratusan ribu pelajar dan pendidiknya.

Inilah politik yang sangat memalukan bukan sahaja untuk rakyat malah juga memaparkan darjah politik rendah dimata dunia. Sebagai sebuah negara anggota OIC serta Asean yang sangat sarat dengan nilai agama dan nilai hidup ketimuran, acara dan politik hiburan sebegini sangat pelik dan tidak melambangkan kematangan dan memgutamakan politik berfikiran murni dan tinggi.


Adakah ini yang hendak dibangunkan setelah negara mendewasa sebagai negara merdeka dengan slogan 1 Malaysia. Transformasi sosial apakah yang dimaksudkan oleh PM Datuk Seri Najib bila melaungkan retorik bahawa negara perlu mempunyai rakyat yang kuat berpegang kepada nilai moral dan budaya murni tetapi dalam masa yang sama merestui acara yang menampilkan hiburan yang tidak ada kaitan malah bertentangan sama sekali dengan nilai dan budaya masyarakat di negara ini.

Kami kesal bila retorik transformasi sosial hanya menjadi slogan berniat politik untuk menarik pengundi tanpa memikirkan kesan buruk yang bakal diterima terutama kepada generasi muda.- Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...