Saturday, February 16, 2013

Tun Mahathir disaran tanding lawan Anwar



Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disaran untuk menentang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh, pada Pilihan Raya Umum ke 13 ini.

Saranan itu dicadangkan Bekas Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Nordin Mahmood.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media yang diadakan di ibu kota, hari ini.


Menurut Nordin, memandangkan Tun Mahathir dilihat banyak mencampuri urusan politik negara biarpun sudah bersara adalah lebih baik jika tokoh negara itu bertanding bagi membuktikan kewibawaan beliau.

"Biasanya, apabila orang bersara dia akan berkecuali, seperti yang berlaku di negara lain. Namun berbeza bagi Tun Mahathir. Beliau masih menunjukkan kesungguhan dalam politik negara ini.

"Jadi, orang kalau berminat dengan politik, kena bertandinglah bagi membolehkannya menyumbang kepada politik," tegas beliau kepada media.

Tambah Nordin, penglibatan beliau sebagai seorang guru selama 37 tahun sudah cukup untuk beliau mengenali Mahathir dan Anwar, yang disifatkan beliau sebagai tokoh negara yang disegani.

Beliau yang mengakui pernah mempunyai hubungan baik dengan Mahathir dan Anwar ketika kedua-duanya memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran, berkata 'pertembungan' itu bagi membuktikan siapa yang menjadi pilihan rakyat.

"Saya sebut bertanding di Permatang Pauh, jika Mahathir kalah sekalipun, beliau kalah bermaruah kerana bertanding di kubu kuat Anwar. Begitu juga jika bertanding di Kubang Pasu," kata beliau yang dikatakan sudah menyatakan saranan tersebut kepada Anwar.

Beliau dikatakan telah menghubungi Anwar tiga hari lepas berhubung saranan tersebut dan ahli parlimen Permatang Pauh itu menerimanya secara terbuka.

Bagaimanapun, beliau belum menghubungi Mahathir untuk tujuan sama, sebaliknya meminta pihak media melontarkan saranan tersebut kepada Mahathir.

Katanya, sekiranya Tun tidak mahu bertanding di Permatang Pauh, beliau boleh memilih mana-mana parlimen, termasuk di Kuala Lumpur.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...