Monday, February 27, 2012

Rakyat tidak puas hati bukan kerana nama 1Care


                  Sistem Kesihatan di Malaysia memang tidak dinafikan telah memberi perkhidmatan yang terbaik buat rakyat Malaysia sehingga ke hari ini.
                  Namun begitu, kata Pengerusi Lajnah Pekerja dan Professional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Ghazali Hasbullah disebabkan tekanan perbelanjaan kesihatan yang makin meningkat, kurang pengawalan terhadap caj di fasiliti kesihatan swasta dan isu kualiti kesihatan sememangnya memerlukan satu perancangan yang tersusun agar sistem itu dapat diperbaiki lagi.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah lama menjalankan kajian terhadap isu-isu itu namun tidak pernah kedengaran sebelum ini.

Kini, ujarnya desas-desus perlaksanaan 1Care, iaitu perancangan transformasi sistem kesihatan, telah menimbulkan riak ketidakpuasan hati di kalangan rakyat jelata.


“Ini bukan kerana namanya 1Care atau seumpamanya tetapi ini dilakukan seolah-olah dalam keadaan yang disembunyikan, dan hanya menimbulkan syak wasangka di kalangan masyarakat umum,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, masyarakat umum di Malaysia pernah berkali-kali dikejutkan dengan perubahan yang mendadak, seperti kenaikan harga minyak 30 sen awal tahun 2006.

Justeru, katanya perkara yang sama perlu dielak daripada berulang di dalam isu itu.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS yakin bahawa pelan penambahbaikan sistem kesihatan negara yang telah dan sedang dirancang oleh pakar-pakar kesihatan negara mempunyai manfaatnya yang tersendiri.

Namun, jelasnya disebabkan sejarah pentadbiran oleh Kerajaan Umno BN yang mempunyai rekod buruk telah menyebabkan rakyat tidak mempercayai sebarang agenda baru pihak kerajaan.

Sebagai contoh, katanya perlaksanaan polisi PPSMI, SBPA dan pelbagai lagi telah menunjukkan kegagalannya.

“Ianya diburukkan lagi dengan beberapa skandal yang memalukan negara seperti NFC dan PKFZ telah menggambarkan Umno BN gagal dalam melangsaikan amanah yang telah diberi,” ujarnya lagi.

Selain itu, tambahnya pihak kerajaan juga telah turut menyumbang kepada ketidakpercayaan rakyat memandangkan perkhidmatan kesihatan yang telah diswastakan telah dimonopoli oleh syarikat seperti Pantai Medicare, Faber, Radicare, Pharmaniaga dan lain-lain.

“Apakah perkara yang sama akan turut tercalit dalam konsep 1Care?” soalnya.

Oleh itu, katanya polisi 1Care perlu mendapat suntikan Konsep Negara Kebajikan yang dipelopori oleh PAS dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, elemen-elemen mengutamakan kebajikan rakyat perlu dikedepankan bukan setakat slogan tetapi telus dalam perlaksanaannya.

PAS, ujarnya telah bersiap sedia dengan kertas perlaksanaan polisi yang telah dirancang demi menjamin penjagaan kesihatan optima seluruh rakyat Malaysia.-Hrkhdaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...