Sunday, February 5, 2012

Belanja mewah BN, negara boleh bankrap


                Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad memberi amaran, negara ini boleh terjerumus ke lembah kebankrapan jika parti yang memerintah dibiarkan berbelanja mewah.
                 Berucap dalam forum bertajuk ‘Perubahan Politik Untuk Pembaharuan Ekonomi Bagi Kesejahteraan Rakyat’ di Hotel Seri Malaysia dekat sini semalam, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, ini disebabkan kerajaan terus berbelanja mewah di luar kemampuan sekalipun dengan berhutang.

“Bayangkan kadar pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5 peratus setahun tetapi kadar peningkatan hutang pula 13 peratus," katanya.

Dengan kadar tersebut, pada tahun 2020 hutang negara akan mencecah RM1 trilion.


“Sejak kemelesetan ekonomi, dalam tempoh 13 tahun kerajaan tetap berbelanja besar-besaran sehingga ekonomi menjadi parah. Jadinya apa yang kita belanjakan hari ini seolah-olah kita makan daripada milik anak cucu kita iaitu generasi akan datang.

“Itu belum masuk lagi isu penyelewengan dan salah guna kuasa. Bayangkan RM28 bilion tiris setiap tahun sedangkan jumlah yang sama jika boleh dimanfaatkan untuk rakyat sudah boleh membawa rakyat keluar daripada garis kemiskinan,” katanya.

Dzulkefly yang juga Pengarah Penyelidikan PAS Pusat berkata, semua masalah ini timbul kerana masalah kepimpinan kerajaan yang berbelanja tidak berhemat dan jentera di bawah kerajaan yang tidak cekap.

Tambahnya, hasilnya jurang kaya dan miskin semakin membesar dalam masyarakat akibat kos hidup yanmg melambung dan pada ketika ini 58 peratus isi rumah beroleh pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan dan hampir separuh merupakan orang Melayu.

“Negara berada dalam krisis ekonomi yang teruk sekarang, dalam keadaan seluruh dunia tahu negara ini mempunyai sumber alam yang amat kaya. Jadi masalah ini hanya dapat diselesaikan dengan amanah. Negara yang baik jika diurustadbir dengan baik akan menjadi baik.

“Sebab itulah Pakatan Rakyat (PR) berazam tampil untuk penyelesaian. PR berazam keluarkan negara daripada krisis ekonomi yang teruk itu. Negeri-negeri di bawah PR sekarang bukti PR mampu mengurustadbir dan seterusnya mampu untuk perintah Putrajaya,” tegasnya.

Serentak dengan itu, Dzulkifli mengharapkan rakyat membuka mata untuk memberi peluang kepada PR bagi menyelamatkan negara ini bagi menikmati keadilan, mengelakkan pembolotan dan monopoli dalam penswastaan kerana semuanya mahu diswastakan kepada seorang.

Sementara itu Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua yang turut menjadi panel berkata, di bawah BN pembaziran terlampau banyak berlaku harga yang dibeli melalui wang kerajaan melonjak 28 kali ganda seperti didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Mengenai tekanan kepada rakyat pula, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata masalah paling rumit kepada rakyat Malaysia ialah kenaikan harga barang.

“Apa cara kerajaan untuk turunkan harga barang? Kerajaan umum 85 buah kedai 1Malaysia. Tetapi didapati barang yang dijual tidak murah sebagaimana didakwa berbanding di pasaraya-pasaraya besar.

“Untuk projek itu kerajaan keluarkan bantuan RM400 juta kepada Mydin untuk jual barang kepada rakyat. Sedangkan sebab barang mahal ialah kerana monopoli. Antaranya Bernas. Ini yang menyebabkan harga barang tinggi.” tambahnya.

Tony yang juga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen, turut menyentuh monopoli merugikan rakyat dengan mengambi contoh kutipan tol Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) sudah menjangkau RM18 bilion.

“Kenapa tak hapuskan tol setelah untung. Sedangkan itu boleh rendahkan kos hidup rakyat melalui kos pengangkutan. Sebab itu janji PR jika menguasai Putrajaya, kita akan kaji semula untuk mansuh tol,” ujarnya.

Tony turut mendedahkan harga lima buah kapal peronda yang dibeli Kementerian Pertahanan bernilai RM5 bilion bermakna RM1 bilion sebuah. Sedangkan New Zealand boleh dapat dengan harga RM240 juta sebuah dan di Israel pula RM770 sebuah.-Hrkhdly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...