Cadangan debat oleh KMPP adalah mengenai isu yang melibatkan kepentingan politik serta ekonomi atau lebih tepat lagi halatuju dan masa depan orang-orang melayu Pulau Pinang.
Sebagai seorang pemimpin melayu veteran dalam Parti DAP semenjak hampir 25 tahun sehinggalah menjadi Kerajaan dibawah Pakatan Rakyat hampir 4 tahun lalu, saya secara peribadi dan ikhlas lagi jujur mengaku masih banyak lagi keperluan serta sumbangan yang harus dipertingkatkan bagi tujuan penambahbaikkan kepada orang-orang melayu Pulau Pinang.
Ini termasuklah kekuatan politik, ekonomi, kebajikan, pendidikan dan sebagainya yang dikategorikan sebagai perkara wajib. Dalam istilah politik ada kalanya kumpulan minoriti lebih berharga berbanding kumpulan majoriti.
Kedudukan jawatan saya sebagai Ahli Majlis agak terhad disebabkan status saya yang bukan bertaraf Yang Berhormat menidakkan saya berada di dalam Kerajaan Negeri. Ini tidak bermaksud saya langsung tidak menyumbang kearah membantu bangsa saya sendiri. Saya sentiasa menegur secara belakang tabir. Justeru itulah menyebabkan wujudnya tanggapan bahawa tiada sumbangan daripada pemimpin melayu DAP dinegeri ini. Ingin saya tegaskan ini tidak bermakna soal politik dan ekonomi melayu disini diabaikan sepenuhnya. Sayangnya setiap niat murni kita telah dijadikan propaganda politik pihak tertentu dengan hasrat menodai kradibiliti sokongan melayu negeri ini kepada Pakatan Rakyat khususnya kepada Parti DAP.
Saya mengakui bahawa kewujudan pemimpin DAP Melayu sudah bertapak bagi suatu tempoh yang lama semenjak tahun 1969 dimana dalam catatan sejarah DAP Melayu pernah memenangi 1 kerusi Parlimen dan 6 kerusi Dun sewaktu menjadi pembangkang dahulu secara total. Sekarang sejarah telah bertukar dimana takdir telah menentukan bahawa kemunculan bakal calon-calon DAP Melayu dinegeri ini khasnya serta seluruh Malaysia amnya tidak boleh disembunyikan lagi menjelangnya PRU 13 nanti. Saya sedar bagaimana acap kali ahli DAP Melayu dikritik dan dihina tanpa sempadan daripada parti politik melayu seakan-akan melayu di dalam Parti DAP tidak memberi apa-apa faedah kepada orang-orang melayu dinegara ini. Timbul persoalan apakah ahli melayu dalam DAP bukan beragama Islam serta tiada akidah? Terkadang pandangan-pandangan negatif berkenaan sudah sampai tahap melampau dan berbahaya.
Satu lagi faktor yang menenggelamkan pemimpin DAP Melayu seperti saya adalah kerana telah dihukum terlalu awal iaitu tiada langsung diberi peluang dan ruang melalui media cetak dan elektronik. Tanpa publisiti media maka menyukarkan pihak saya dan pemimpin melayu dalam DAP untuk berbakti kepada bangsa kami sendiri. Bila tiada bantuan media atau sekatan keatasnya maka timbullah persepsi negatif orang-orang melayu terhadap kami. Alhamdulillah muktahir ini, isu calon-calon DAP Melayu telah mula dibangkitkan atas kerisauan pemimpin-pemimpin melayu sendiri yang begitu gusar ada kemungkinan peralihan sokongan mungkin berlaku pada PRU 13 nanti. Saya percaya bahawa pengundi-pengundi melayu khususnya di Pulau Pinang sudah bijak untuk menilai diantara kaca dan permata.
Justeru itu, cadangan dan desakan oleh KMPP melalui kenyataan Presidennya Rahmad Isahak yang mahukan satu debat yang sihat serta bersih semata-mata demi kepentingan melayu disini harus dipandang dari sudut positif. Saya tidak terkilan menyatakan bahawa NGO Melayu ini (KMPP) adalah satu-satunya NGO Melayu yang begitu lantang bersuara demi ingin melihat bangsa mereka tidak diperlekehkan samaada oleh Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Pusat. Bukankah lebih elok lagi kalau wujudnya lebih banyak NGO Melayu seperti KMPP di Pulau Pinang?
Akhir sekali atas nama orang-orang Melayu dinegeri ini maka saya dengan ini bersedia untuk berdebat dengan pemimpin UMNO Pulau Pinang yang saya rasakan lebih afdal jikalau Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang iaitu Dato Zainal Abidin Osman sendiri berdebat dengan saya tanpa sebarang syarat disuatu lokasi di Negeri Pulau Pinang.
Saya yakin banyak perkara berfaedah bakal dirungkaikan menerusi sesi debat berkenaan. Pelan transformasi masa hadapan adalah intipati terpenting yang perlu sampai ke pengetahuan orang-orang Melayu Pulau Pinang. Semoga permintaan saya akan menjadi kenyataan. Soal penganjuran akan ditetapkan kemudian setelah mendapatkan persetujuan daripada pihak UMNO Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu.
KERUSI YANG PERNAH DIMENANGI OLEH CALON DAP MELAYU
KERUSI PARLIMEN:
Ahmad Nor (1990), Bayan Baru, Pulau Pinang.
KERUSI DUN:
Ibrahim Singgeh (1969), Tapah Road, Perak
Hassan Ahmad (1969) Si Rusa, Perak
Fadzlan Yahya (1982), Pasir Berdamar, Perak
Fadzlan Yahya (1986), Pasir Berdamar, Perak
Fadzlan Yahya (1990), Lahat, Perak – majoriti 429 undi
Mohd Asri (1990), Dermawan, Perak – majoriti 7540 undi
Zulkifli ialah Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras DAP Melayu merangkap AJK DAP Negeri Pulau Pinang.
template joomla - -Hrkhdaily.net
No comments:
Post a Comment