Thursday, February 9, 2012

NFC: Mengapa Najib takut dedah kepada rakyat?


                       Sekiranya kerajaan Umno bertanggungjawab, kandungan perjanjian berkaitan dana RM250 juta yang diluluskan bagi tujuan operasi Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) mestilah didedahkan kepada pengetahuan rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
                    "Jika benar seperti yang digambarkan bahawa keluarga (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri) Shahrizat (Abul Jalil) adalah pihak yang bertanggungjawab dan menggunakan dana tersebut untuk tujuan lain dari projek lembu di bawah NFC dan kerajaan Umno tidak bersalah sedikit pun, mengapa tidak didedahkan kandungan perjanjian tersebut?

"Apa yang kerajaan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) takut sangat?" beliau mempersoalkan.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengulangi desakan supaya dinyatakan adakah dana tersebut diluluskan mengikut peraturan kewangan.


"Hari ini kita didedahkan lagi tentang perbuatan menyalahgunakan dana untuk projek lembu itu bagi membeli dua lagi kondominium bernilai RM34.6 juta di Marina Bay.

"Semua itu tidak pelik jika benar dana dikeluarkan sejak 2008 lagi tetapi perjanjian khabarnya hanya dibuat pada bulan Mac 2010.

"Tetapi persoalan terbesarnya, adakah perjanjian tersebut tidak menghalang keluarga Shahrizat yang menerajui projek lembu NFC itu dari menggunakan wang tersebut untuk tujuan lain termasuk membeli kondominium?" tanya Mahfuz.

Persoalan tersebut, tegas beliau, mesti dijawab oleh kerajaan Najib memandangkan pembelian kondominium itu dilaporkan dibuat pada bulan Mei 2010 manakala perjanjian mengenai dana tersebut dikatakan dibuat pada bulan Mac 2010.

"Penting untuk kerajaan Najib menjawab dari akaun mana wang untuk membeli kondominium itu diperolehi?

"Jika wang dikeluarkan dari akaun operasi projek lembu, adakah Jabatan Veterinar memberikan pengesahan untuk mengeluarkan wang membeli kondominium itu?

"Jika bukan dari akaun operasi, dari mana pula wang RM34.6 juta itu? Jika wang lain yang digunakan untuk membeli kondominium demi kondominium, itu tentu lebih menarik lagi," kata Mahfuz.

Beliau mengulangi penekanan, apa pun yang berbangkit dan apa jua perbelanjaan yang dibuat dari wang yang diluluskan bagi tujuan operasi NFC itu, persoalan penting yang mesti dijawab segera oleh kerajaan Najib ialah adakah wang RM250 juta itu diluluskan mengikut peraturan.

"Rakyat sudah mendengar cerita pelik bahawa dana diberikan dahulu dan perjanjian dibuat dua tahun kemudian, perjanjian tidak ada jadual pembayaran, hanya syarikat sahaja yang menjadi penjamin kepada perolehan dana tersebut malah terlalu banyak perkara pelik yang dilaporkan berlaku.

"Amat tidak bertanggungjawab kerajaan Najib terus membisu ketika pendedahan demi pendedahan dibuat," kata Mahfuz.

Hari ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan bahawa keluarga Shahrizat telah membeli dua lagi kondominium bernilai RM34.6 juta di Marina Bay Suites, yang terletak di kawasan mewah Pusat Kewangan Marina Bay, Central Boulevard, Singapura.

Beliau mendakwa, pembiayaan pembelian tersebut dipercayai diluluskan oleh bank-bank terbabit sebagai urusan timbal balik kerana National Feedlot Corporation dan syarikat-syarikat berkaitan yang dimiliki keluarga Shahrizat mempunyai deposit yang besar di bank-bank tersebut, yang didakwanya sebahagian daripada dana RM250 juta yang diluluskan bagi tujuan operasi.-Hrkhdly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...