Perhimpunan tersebut dianjurkan lebih 80 NGO perihatin dan turut mendapat sokongan Pakatan Rakyat khususnya KEADILAN, PAS dan DAP.
Peserta perhimpunan tersebut mula berkumpul di Padang MPK1, tempat asal perhimpunan sebelum berarak ke padang MPK4, kira-kira jam 9.30 pagi.
Hadir pada perhimpunan itu ialah Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan pimpinan utama Pakatan Rakyat.
Terdahulu, peserta yang terdiri dari pelbagai kaum, hadir ke lokasi himpunan itu dengan majoriti mereka berpakaian hijau.
Mereka melaungkan “Balik, balik. Lynas balik! Hancur, hancur. Hancur Lynas!”, selain membawa sepanduk, kain rentang dan poster yang memaparkan slogan anti Lynas.
Beberapa Wakil kumpulan NGO dan aktivis sosial, termasuk anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 turut memberikan ucapan ketika himpunan berlangsung.
Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A Samad yang membacakan puisi bertajuk ‘Gebeng Yang Luka’ ketika himpunan tersebut.
Antara yang turut dipersembahkan ialah paluan kompang, gendang dan persembahan drama yang mempersendakan menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob oleh NGO Jingga 13.
Selain itu, pelbagai aktiviti dilakukan perserta himpunan, antaranya menyanyikan lagu ‘Suara Rakyat’, diketuai oleh aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang juga pengerusi majlis.
Lokasi tempat perhimpunan tersebut bagaikan tapak pesta dengan pelbagai aksi dan gelagat peserta himpunan dapat dilihat.
Kehadiran mereka disambut oleh penduduk Kuantan yang membunyikan hon kereta, tanda sokongan terhadap Himpunan Hijau 2.0.
Sebelum himpunan berakhir, tiga resolusi Himpunan Hijau 2.0 dibacakan oleh penganjur iaitu:-
Batalkan Segera Projek Loji Nadir Bumi Lynas
Hentikan atau nilai semula segala projek yang memudaratkan Malaysia.
Pastikan segala rancangan pembangunan adalah mapan dan sejajar dgn prinsip-prinsip “Piagam Bumi”.
Perhimpunan itu tamat kira-kira jam 11.34 pagi dan bersurai dengan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.-K/Daily
No comments:
Post a Comment