Tuesday, February 7, 2012

Guna duit parti untuk parti, bukan duit kerajaan

Banyak salah guna kuasa dan penyelewengan berlaku dalam kerajaan BN kerana mereka tidak membezakan peruntukan untuk pembangunan negara dan aktiviti parti.


   
            Sesebuah parti politik berperanan menentukan corak pemerintahan kerajaan tetapi sesebuah kerajaan tidak bertanggungjawab membangunkan parti, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
              Beliau berkata, kerajaan negeri tidak berhak menggunakan peruntukan untuk sebarang aktiviti parti.

Mengambil contoh di Kedah, walaupun PAS memerintah negeri itu, kerajaan negeri tidak pernah menyediakan peruntukan untuk aktiviti parti.

"Parti yang menentukan kerajaan tapi kerajaan tidak ada tanggungjawab untuk membangunkan parti.


"Orang selalu tanya kenapa kita (PAS) masih minta sumbangan orang ramai selepas kita memerintah.

"Rakyat kena faham, nak bangunkan parti mestilah guna duit parti, duit dalam poket ahli dan penyokong parti, tak boleh guna duit kerajaan negeri sesuka hati," kata beliau sewaktu berucap di Majlis Malam Mahabbah Anak Kedah di Perantauan, di Markaz PAS Taman Melewar, malam tadi.

Majlis makan malam anjuran PAS Kawasan Pokok Sena itu bertujuan mengutip dana bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan untuk penambahbaikan Kompleks PAS Pokok Sena.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, banyak salah guna kuasa dan penyelewengan berlaku dalam kerajaan BN kerana mereka tidak membezakan peruntukan untuk pembangunan negara dan aktiviti parti.

"Kalau kerajaan tidak membezakan antara pembangunan negeri dengan pembangunan parti, itu yang berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan. Duit keluar untuk parti," katanya.

Menyentuh mengenai rumus Parlimen akan dibubarkan minggu hadapan, beliau berkata, PAS sudah bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa dari sekarang.

"Rumus terbaru kata Parlimen bubar minggu depan. Kita tak tahu sejauh mana kebenarannya tapi bagi PAS, kita sudah bersedia. Cepat atau lambat, kita memang kena hadapi pilihan raya.

"Saya yakin suasana pilihan raya makin terasa dan momentum yang ada memperlihatkan rakyat sudah tidak sabar-sabar nak hadapi pilihan raya," katanya lagi.

Momentum ini katanya, bukan sahaja berlaku dalam negara tapi juga di luar negara.

"Minggu lepas saya ke luar negara bertemu dengan anak-anak Malaysia di sana dan sambutan yang diberi sangat memberangsangkan.

"Ada ketua Kelab Umno di luar negara hadir program kita dan menyatakan sokongan kepada PAS dan memberikan derma untuk program kita. Ini satu perkembangan yang mengejutkan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud dalam ucapannya menyeru anak muda agar melibatkan diri dalam kerja-kerja parti selain pulang mengundi bagi mempertahankan kemenangan PAS di Kedah.

"Saya menyeru kepada golongan muda, jangan takut untuk terlibat dalam parti.

"Banyak sumbangan yang boleh diberikan oleh golongan muda selain mengundi PAS. Anak-anak muda di luar sana amat memerlukan sentuhan anak-anak muda PAS yang faham Islam.

"PAS bukan sahaja parti politik tapi juga parti dakwah. Jadi politik dan dakwah harus seiring," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja dan merupakan anak kelahiran Kedah.

Dalam pada itu, penyanyi terkenal di era 80-an, yang kini telah berhijrah, Aisyah turut hadir dalam majlis malam tadi.

Tidak seperti kebiasaan, Aisyah yang seringkali diundang membuat persembahan, malam tadi diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan.

Walaupun Aisyah tidak menyatakan secara jelas sokongan terhadap PAS, tetapi ucapannya menggambarkan beliau mula menerima PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

"Saya memang tak pandai berpolitik. Dan dulu saya tak ambil kisah pasal perkembangan di sekeliling.

"Tapi bila saya bergelar ibu, dan anak-anak saya kian membesar, saya semakin risau dengan susana sosial yang semakin tenat.

"Saya mencari pimpinan yang boleh menjaga akidah anak-anak saya," katanya yang semakin kerap menerima undangan dalam program-program anjuran PAS.-Hrkhdaly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...