Thursday, February 16, 2012

Najib mesti dedah penyelesaian Danaharta-Tajudin

                Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didesak supaya memberitahu bentuk penyelesaian yang dicapai antara bekas pengerusi eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Tajudin Ramli dan Pengurusan Danaharta Nasional Bhd yang dimiliki 100 peratus oleh Kementerian Kewangan.
            “Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib mesti menjelaskan mengapa kerajaan BN sanggup melepaskan tuntutan terhadap seluruh hutang dan melepaskan Tajudin tanpa mempertahankan diri di Mahkamah Rayuan.

"Keputusan ini mempunyai niat jahat kerana kerajaan telahpun memenangi kes tersebut di Mahkamah Tinggi,” kata ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.(gambar)

Dalam keputusannya semalam, Mahkamah Rayuan juga menetapkan bahawa terma penyelesaian Danaharta dan Tajuddin dirahsiakan.


Kes Danaharta dan Tajudin berkisarkan kepada satu pinjaman RM1.79 bilion oleh sekumpulan pemimjam untuk membiayai Tajudin dalam pembelian 32 peratus saham MAS pada tahun 1994.

Kegagalan Tajudin untuk melangsaikan hutang tersebut sebanyak dua kali telah memaksa Danaharta untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau.

Pada 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Tajudin membayar RM589 juta kepada Danaharta yang menguruskan pinjaman tidak berbayar akibat hutang yang ditanggung tokoh korporat itu dalam pembelian saham MAS.

Jumlah itu merupakan baki pinjaman berjumlah RM1.79 bilion yang diberikan kepada Tajudin oleh sekumpulan peminjam bagi membiayai pembelian 32 peratus kepentingan dalam MAS pada 1994.

Tajudin diperintah membayar jumlah asas pinjaman pada 31 Dis 2005 sebanyak RM589,143,205.57 serta faedah dua peratus atas kadar pemberian pinjaman asas Malayan Banking Bhd mulai 1 Jan 2006 sehingga tarikh penyelesaian penuh kes itu kepada Pengurusan Danaharta dan dua anak syarikatnya.

Mahkamah Tinggi turut membatalkan tuntutan balas Tajudin, yang berjumlah RM13.46 bilion, terhadap 24 responden termasuk Danaharta, dua anak syarikat serta pegawainya, Datuk Azman Yahya, Datuk Abdul Hamidy Hafiz, Datuk Zukri Samat dan Datuk Kris Azman Abdullah.

Responden lain ialah pentadbir khas Naluri Corporation Bhd iaitu Mohamad Raslan Abdul Rahman, Ooi Woon Chee dan Gan Ah Tee serta syarikat Telekom Malaysia Berhad, Telekom Enterprise Sdn Bhd, Technology Resources Industries Berhad, Celcom (Malaysia) Sdn Bhd, Commerce International Merchant Bankers Berhad (CIMB), Atlan Holdings Bhd, Atlan Properties Sdn Bhd, Multi Esprit Sdn Bhd, Datuk Seri Adam Sani Abdullah, Datuk Ong Kim Hoay, Datuk Khalid Mohamad Jiwa, Datuk Ong Kar Beau, kerajaan Malaysia dan Naluri Corporation Berhad.

Tajudin pernah mendakwa bahawa pembelian saham tersebut diarahkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas kementerian kewangan Tun Daim Zainuddin pada 1994 untuk menyelamatkan kerajaan.

Pada tahun 2009, Danaharta serta dua anak syarikatnya berjaya dalam saman RM589.14 mereka terhadap Tajudin di Mahkamah Tinggi.

Ogos 2011, media melaporkan, kerajaan telah mengarahkan semua anak-anak syarikatnya (GLC) agar menggugurkan semua tuntutan mereka terhadap Tajuddin, anak didik bekas bendahari Umno, Tun Daim Zainudin ini.

Dalam surat yang dihantar oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, semua GLC dan Danaharta diberitahu, Kementerian Kewangan telah bersetuju untuk menyelesaikan semua saman terhadap Tajudin di luar mahkamah.

“Adakah penyelesaian ini disebabkan oleh hujah pembelaan Tajudin bahawa beliau 'dilindungi' oleh Dr Mahathir dan Daim Zainuddin daripada sebarang tanggungjawab terhadap kerugian tersebut?” soal Pua

Menggunakan kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebagai contoh di mana mantan presiden dan timbalan presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik dan Datuk Seri Chan Kong Choy didakwa, Pua menggesa Najib turut melakukan perkara yang sama terhadap Mahathir dan Daim atas kecuaian melampau dan melindungi Tajudin dalam penswastaan MAS.

“Ia adalah jelas daripada penyelesaian di atas bahawa kerajaan BN tidak mempunyai keinginan politik untuk menguruskan kewangan dalam sebarang bentuk yang hemah.
"Ketirisan, rasuah dan pembaziran dalam skala besar akan terus subur dalam kerajaan BN yang tekad mempromosikan kronisme dan mengabaikan akauntabiliti,” selar Pua.

Jika keadaan ini berterusan, kata Pua, tilikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Idris Jala bahawa negara akan bankrap sudah pasti akan menjadi kenyataan.Hrkhdaily.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...