Friday, February 24, 2012

Jawatan PM: Najib hipokrit untuk takutkan Melayu


               Rakyat negara ini, terutama orang Melayu, tidak perlu risau mengenai kedudukan perdana menteri kerana walau apa pun yang terjadi jawatan perdana menteri tetap akan disandang oleh orang Melayu di tanah air kita.
               Walaupun dalam Perlembagaan Malaysia tidak dinyatakan jawatan perdana menteri mestilah disandang oleh orang Melayu, tetapi perlaksanaan dalam negara tetap menjanjikan Perdana Menteri Malaysia tidak akan beralih kepada bangsa lain.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan para pemimpin Umno yang mengatakan jawatan perdana menteri akan disandang oleh bangsa lain sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang, ternyata tidak berasas.


Menurutnya, dakwaan tersebut sebaliknya ternyata hanya memperlihatkan sikap hipokrit para pemimpin Umno BN untuk menakutkan rakyat terutama di kalangan orang Melayu.

Katanya, dakwaan mereka itu sebenarnya merupakan politik hipokrit untuk menakutkan satu-satu kaum bagi kepentingan politik mereka, tetapi ia tetap tidak akan merugikan Pakatan Rakyat, sebaliknya akan memberikan kesan buruk kepada Umno dan BN sendiri.

"Malah rakyat negara ini sendiri pun sudah tahu, bagaimana jawatan perdana menteri akan dipegang oleh bangsa lain khususnya kaum Cina sekiranya Pakatan Rakyat menang, sedangkan DAP sendiri tidak berminat untuk menjadi perdana menteri.

"Perkara itu telah ditegaskan oleh Setiausaha Agung DAP sendiri yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam majlis Pakatan Rakyat sejak beberapa tahun lalu," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini.

Perdana Menteri dalam kenyataannya seperti yang disiarkan media tempatan baru-baru meminta orang-orang Melayu agar tidak menyokong PAS kerana jika diberikan undi kepada PAS bermakna akan memberikan kuasa kepada DAP, sehingga boleh menyebabkan jawatan perdana menteri akan beralih kepada kaum lain khususnya Cina.

Kenyataan itu dikeluarkan setelah Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek meminta kaum Cina agar tidak mengundi DAP pada PRU Ke-13 akan datang kerana jika mengundi DAP bermakna akan memberikan kuasa kepada PAS yang akan mendominam Pakatan Rakyat.

Perkara itu dibangkitkan oleh Soi Lek menerusi program debatnya bersama Lim Guan Eng yang berlangsung selama dua jam dan turut disiarkan secara langsung di saluran Astro Awani baru-baru ini.

Dakwaan tersebut semakin diapi-apikan lagi oleh mereka dengan bermodalkan kata-kata Guan Eng dalam debatnya itu yang mengatakan bangsa lain juga boleh menjadi perdana menteri di negara ini.

Menurut Mahfuz, pada hal kata-kata Lim Guan Eng itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana ia memang dirujuk kepada Perlembagaan Malaysia sendiri.

"Dalam Perlembagaan Malaysia memang tidak dinyatakan jawatan perdana menteri mesti disandang oleh orang Melayu. Perkara itu pun pernah disebut oleh pemimpin Umno sendiri khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri dulu.

"Kenyataan Tun Dr Mahathir itu telah disiarkan menerusi media yang dikuasai Umno sendiri pada 23 September 2010, tetapi ia tak pun disanggah oleh pemimpin-pemimpin Umno lain dan tak pun dijadikan isu," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Bagaimanapun, apabila perkara itu disebut oleh Lim Guan Eng, katanya, ia telah dijadikan modal penting oleh Umno untuk menakutkan orang Melayu, walaupun mereka sendiri sudah tahu realiti sebenar mengenai perkara itu.

"Itulah sikap para pemimpin Umno. Mereka ternyata begitu hipokrit sehingga sanggup bertindak untuk menakutkan rakyat dan mengenepikan fakta yang sebenar.

"Ia ternyata berbeza dengan sikap para pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat yang sememangnya sentiasa berkata benar berdasarkan fakta untuk memberikan maklumat yang benar kepada rakyat.

"Selebihnya, terpulanglah kepada rakyat sendiri untuk menilainya. Tetapi fakta tetap fakta. Berdasarkan fakta juga, walau apa pun terjadi, perdana menteri tetap orang Melayu," katanya.

Ketetapan tersebut, tegasnya, bukan hanya telah pun disepakati oleh para pemimpin Umno dan parti-parti komponen dalam BN, tetapi juga turut disepakati oleh para pemimpin PAS dan para pemimpin parti-parti yang terdapat dalam Pakatan Rakyat.

"Rakyat tidak perlu takut mengenai perkara itu dan tidak sepatutnya terpengaruh dengan permainan politik kotor para pemimpin Umno BN itu.

"Sebaliknya, kita minta Umno dan BN hentikanlah politik hipokrit seperti itu kerana politik hipokrit perkauman sudah tiada tempat lagi dalam politik Malaysia sekarang," ujar beliau.-Hrkhdly

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...