Wednesday, June 22, 2011

Bersih 2.0: SPR lebih baik berdiam diri

           Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) diingatkan agar lebih baik berdiam diri dari mengeluarkan kenyataan janggal untuk mengadakan rundingan dengan Jawatankuasa Bersih berhubung isu Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.
           Langkah seperti itu lebih baik bagi mempastikan SPR sebuah badan bebas yang bertugas untuk melaksanakan pilihanraya yang adil dan bersih, memandangkan SPR juga menjadi mangsa kepada sistem yang tidak adil dalam negara ini.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Suhaizan Kaiat (gambar) berkata, sebagai badan perlaksana kepada pilihanraya, SPR tidak mempunyai cukup kuasa untuk membuat perubahan kepada lapan tuntutan yang dibuat oleh Bersih 2.

Menurut beliau, lapan tuntutan itu ialah membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, tempoh minima 21 hari berkempen, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.


Katanya, sebarang rundingan dengan pihak SPR tidak boleh menyelesaikan semua tuntutan. Ini kerana SPR hanya mempunyai kuasa yang sangat terhad terhadap media, kuasa terhad untuk mengukuhkan institusi awam, kuasa terhad untuk menghentikan rasuah dan politik kotor.

"Namun sesuatu yang jangal walaupun bukannya luar biasa telah berlaku kepada SPR, apabila kenyataan pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof telah cuba membuka pintu rundingan dengan Jawatankuasa Bersih 2, berkenaan isu Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

"Kenyataan itu telah disiarkan oleh media Malaysiakini semalam. Sedangkan pada 18 Jun 2011 Tan Sri Abdul Aziz telah menutup pintu rundingan seperti yang telah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Perubahan mendadak pendirian SPR itu, menurut beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor, dipercayai akibat tekanan pihak kerajaan terhadap SPR.

Katanya, Tan Sri Abdul Aziz menekankan demonstrasi tidak menyelesaikan sebarang masalah. Mungkin Abdul Aziz terlupa bahawa Himpunan 100 Ribu Gerakan Rakyat Membantah PPSMI (GMP) tahun 2009 telah menyebabkan polisi PPSMI berubah.

"Sedangkan sebelum demonstrasi pihak kerajaan, khususnya Menteri Pelajaran pada masa itu, Datuk Hishamuddin Tun Hussin bertegas akan mengekalkan PPSMI. Itulah bukti yang paling jelas bagaimana demonstrasi boleh mengubah sesuatu polisi kerajaan," katanya.

Hujah yang mengatakan kemenangan pembangkang dalam pilihanraya 2008 telah membuktikan bahawa SPR telah berlaku adil dalam pilihanrayan, tegas beliau, adalah hujah yang meleset.

Katanya, sistem undi pos ternyata mempunyai ruang manipulasi yang sangat jelas sehingga SPR berjanji mahu membuat perubahan.

"Terdapat bekas-bekas pegawai tentera yang telah mengaku memangkah kertas undi bagi pihak anggota di bawahnya, insiden berkaitan undi pos yang berlaku di pilihanraya kecil Bagan Pinang dan Sibu, kuasa SPR yang sangat terhad terhadap media massa dan lain-lain isu telah membuktikan bahawa sistem pilihanraya tidak berlaku dengan adil selama ini.

"Janji SPR untuk membuat reformasi terhadap undi pos masih lagi pada tahap janji sahaja. Belum sampai peringkat perlaksanaan lagi," ujar beliau.-Hrkhdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...