Sunday, June 5, 2011

Asri : Negara Berkebajikan Memberi Kekuatan Kepada PAS

                Saya mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut ‘apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan
                  Istilah negara Islam selama ini menyukarkan PAS bergerak lebih ke hadapan, namun kenyataan Hadi mengenai negara berkebajikan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.


Kenyataan penuh Dr Mod Asri Zainul Abidin...
PAS menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila memperjuangkan negara berkebajikan, kata bekas mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.


Beliau berkata kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa al-Quran sendiri menekankan negara berkebajikan dan bukan negara Islam akan memberi kekuatan kepada parti itu.

Muktamar PAS kali ini dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, sesuatu yang turut diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga.

Asri berkata istilah negara Islam selama ini menyukarkan PAS bergerak lebih ke hadapan, namun kenyataan Hadi mengenai negara berkebajikan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.


“Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud ‘negara kebajikan’ yang hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas.

“Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. Ini kerana negara berkebajikan mempunyai pelbagai gambaran,” kata beliau.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut ‘apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan’,” kata Asri dalam satu kenyataan hari ini.

“Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS,” kata beliau mengulas kenyataan Hadi semalam.

Secara umum, tambah beliau, dunia memahami negara berkebajikan adalah negara-negara yang memakai model nordik seperti di Norway, Denmark dan Sweden.

“Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut,” katanya.

Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 semalam, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk ‘negara Islam’, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.

Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata.

“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.

Asri, berkata, PAS nampaknya seiring dengan gerakan Islam lain di dunia yang mula keluar dari retorik negara Islam kepada realiti kenegaraan yang diperlukan oleh masyarakat. .

“Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah seperti yang disangka oleh sesetengah pihak,” kata beliau sambil menambah, ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah.

“Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu.

“Apabila perkataan daulah Islamiyyah, kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka perkataan daulah islamiyyah ini mula dipopular oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia,” kata beliau.

Kata Asri, istilah itu menjadi punca perbalahan dengan pihak-pihak berkenaan saling melontar tuduhan pihak lain kurang islam.

“Walaupun kadangkala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai,” kata beliau.

Beliau berkata konsep ‘negara Islam’ itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi.

“Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan ‘utopia state’ yang hanya wujud di minda, tidak mungkin pada realitinya.

“Alhamdulillah, apabila gerakan Islam — sebahagian mereka benar-benar terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan,” kata beliau lagi.

Justeru, Asri juga berkata, politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana, namun prinsipnya kekal.

“Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasul-Nya,” katanya.

Asri berkata , Islam menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya.-Tvsnews

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...