Monday, June 6, 2011

Pendakwa raya halang peguam Anwar temu bual saksi


              Malah peguam Anwar, juga masih belum dibenarkan menemu bual Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, yang pernah bertemu dengan Saiful, pengadu yang mendakwa kononnya diliwat Anwar.
            Tangan kami terikat dalam usaha kami untuk menyiapkan pembelaan yang sempurna buat Anwar apabila pendakwa raya enggan memberikan kami kesemua saksi yang telah dijanjikan mereka
Kenyataan penuh Peguam Sankara Nair ..
Peguam Sankara Nair yang mewakili Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberitahu bahawa pihak pendakwa raya tidak membenarkan pasukan peguam Anwar menemu bual kesemua 25 saksi yang dijanjikan kepada mereka.
Menurut Sankara, sehingga ke hari ini mereka hanya dibenarkan menemu bual hanya lima daripada 25 saksi yang dijanjikan pendakwa raya.
Malah mereka juga masih belum dibenarkan menemu bual Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, yang pernah bertemu dengan Saiful, pengadu yang mendakwa kononnya diliwat Anwar.
Justeru, Sankara melahirkan keraguannya yang Anwar akan menerima perbicaraan yang adil apabila mahkamah kembali bersidang hari ini.
“Tangan kami terikat dalam usaha kami untuk menyiapkan pembelaan yang sempurna buat Anwar apabila pendakwa raya enggan memberikan kami kesemua saksi yang telah dijanjikan mereka,” kata Sankara seperti dilaporkan agensi berita AFP.
Khamis minggu lepas, Anwar turut memfailkan permohonan untuk mengenepikan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Zabidin Mohd Diah daripada terus mendengar perbicaraan kes Fitnah II atas sebab Hakim Zabidin bersikap berat sebelah dalam penghakimannya.
Menurut pasukan peguam Anwar, Hakim Zabidin bertindak melakukan pra-penghakiman apabila menyatakan pendakwa raya sudah ‘membuktikan kes mereka melampaui keraguan’.
Tidak cukup dengan perbicaraan yang berat sebelah, keluarga Anwar juga turut diancam nyawa mereka demi menghalang kemaraan Anwar dalam memimpin Pakatan Rakyat.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang merupakan anak sulung Anwar menerima ugutan bunuh ke atas anak perempuannya beberapa minggu lalu.
Ugutan itu pada mulanya berupa panggilan telefon yang meminta Nurul Izzah memujuk Anwar agar berhenti daripada politik jika beliau sayangkan nyawa anaknya. Ia kemudian disusuli SMS mengugut Izzah agar mempengaruhi Anwar berhenti daripada politik jika tidak mahu nasib yang buruk menimpa anaknya.
Isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut berhadapan bahaya apabila kereta yang beliau naiki mengalami kemalangan sewaktu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur daripada Chemor, Perak April lalu.
Kemalangan itu disahkan oleh mekanik yang memeriksa kereta itu sebagai berpunca daripada perbuatan khianat pihak tertentu yang mencabut skru pada cakera brek kereta yang dinaiki Wan Azizah.
Hari ini, mahkamah akan kembali bersidang untuk mendengar kes Fitnah II.
Mahkamah dijangka terlebih dahulu mendengar permohonan Anwar untuk mengenepikan Hakim Zabidin daripada mendengar kes ini.- K/daily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...