Rakyat Ada Hak Tidak Pilih BN
Masyarakat di Batu Sapi mesti menolak kerajaan Barisan Nasional kerana gagal menjalankan amanah mereka sebagai pemimpin yang dilantik oleh rakyat," kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ceramah kelompok di Kampung Cenderamata dekat sini, kelmarin.
YB Khalid Samad |
"Jika pemimpin Barisan Nasional tidak menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan, maka masyarakat di sini berhak untuk tidak memilih mereka pada pilihan raya kali ini," katanya.
Beliau berasa hairan mengapa pengundi masih mengekalkan undi kepada BN sedangkan keadaan pembangunan dan kebajikan rakyat di sini sangat menyedihkan.
Khalid berkata, jika rakyat di Selangor yang sudah pesat membangun dengan segala kemudahan yang ada boleh menukar kerajaan dari BB kepada Pakatan Rakyat, rakyat di Sabah khusunya di Batu Sapi seharusnya sudah lama menolak BN.
Jelas beliau lagi, antara faktor rakyat di Selangor menolak BN pada Pilihanraya Umum 2008 kerana pemimpin-pemimpin mereka mengamalkan rasuah dan penyelewengan.
Seorang bekas Menteri Besar Selangor, katanya, walaupun belum sampai setahun mentadbir tetapi sudah memiliki sebuah rumah yang berharga RM4 juta.
Tambah Khalid, pendapatan royalti minyak Sabah setahun sebanyak RM1 bilion ditambah dengan keluaran hasil balak, gas dan kelapa sawit sepatutnya menjadikan Sabah lebih kaya daripada Selangor.
Tambahnya, tetapi malangnya apa yang berlaku iaitu rakyat Sabah masih di tangga termiskin dalam negara ini.
Selain itu katanya, masyarakat di sini jangan terpedaya dengan fitnah dan tohmahan yang dilakukan oleh BN terhadap 4 buah negeri yang di tadbir oleh Pakatan Rakyat seperti Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.
Walaupun Pakatan Rakyat di Selangor baru memerintah hampir 3 tahun tetapi perubahan begitu jelas telah dillaksanakan berbanding kerajaan BN yang sudah mentadbir selama 50 tahun lebih.
“Dalam jangka masa yang singkat itu, kami (PR) sudah mampu melaksanakan pentadbir dan pengurusan yang terbaik dan mengutamakan kebajikan rakyat Selangor,” ujarnya.
Justeru katanya, masyarakat di sini mesti membuat keputusan yang terbaik demi masa depan generasi yang ada sekarang dengan memberikan undi kepada calon Pakatan Rakyat daripada PKR, Ansari Abdullah pada hari membuang undi 4 November ini./harakahdaily
No comments:
Post a Comment