Thursday, November 18, 2010

Dulu-Dulu Zaid Dituduh Sebagai Pemabuk Oleh Utusan Malaysia, Sekarang Menjadi Rakan Kongsi Mengutuk Anwar




Zaid Ibrahim - Musuh Semalam Kini Menjadi 'Idola' Utusan Dan Media Arus Perdana


Akhirnya Zaid Ibrahim menyertai senarai ahli politik yang satu ketika dipulau atau dikecam oleh media arus perdana tetapi kini dipuji dan diberi ruang luas oleh media yang sama.

Kenapa? Kerana mereka semua melakukan perkara sama iaitu mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bertindak keluar dari Parti Keadilan Rakyat(PKR) .

Seperti Zulkifli Nordin dan Wee Chee Keong serta rakan-rakan yang lain, Zaid turut mengecam Anwar dan dengan serta merta beliau didokong oleh Utusan Malaysia, Berita Harian dan New Straits Times, RTM dan TV3.

Melucukan kerana Zaid sebelum ini dikecam sebagai 'pemabuk' dan pengkhianat bangsa oleh Utusan Malaysia dan media arus perdana lain apabila beliau keluar dari Umno dan menjadi calon PKR pada pilihanraya kecil Hulu Selangor.


Begitu cepat “nasib” atau layanan Zaid di tangan media arus perdana berubah. Beliau dan rakan-rakannya termasuk Zulklifi Nordin, Wee Chee Keong dan Zahrain Hashim kini menjadi idola media arus perdana, asalkan mereka terus “membantai” Anwar.

Hari ini Zaid dijemput untuk wawancara secara langsung bersama Awani untuk lebih sejam. Sudah tentu selepas ini beliau akan turut diburu oleh RTM, TV3, Bernama TV dan sebagainya.

Awani atau media arus perdana lain tidak mungkin memberi ruang kepada Anwar untuk mempertahankan diri daripada tuduhan dan fitnah yang dilemparkan oleh Zaid menerusi media arus perdana.

Radio dan telivisyen di Malaysia tentu akan merasakan sebagai satu beban yang terlalu besar bagi memberikan Anwar walau 30 minit untuk memperjelaskan pendirian parti terhadap isu-isu yang dibangkitkan.

Sehingga sekarang Umno-BN masih kesal dengan tindakan membenarkan perbahasan antara Anwar dan Menteri Penerangan ketika itu Shabery Chik untuk disiarkan secara langsung pada tahun 2008.

Perdana Menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi bertindak berani memberi ruang kepada pembangkang dan nyata Anwar tidak mempersiakan peluang itu apabila menzahirkan kebolehan Pakatan Rakyat mengurus ekonomi negara.

Umno-Barisan Nasional tidak mungkin mengulangi “kesilapan” itu yang meninggalkan Shabery dengan mulut berbuih putih dan Umno-BN dengan parut luka mendalam,

Justeru fitnah dan tuduhan terhadap Anwar akan terus diberi ruang utama dalam media arus perdana namun Anwar sendiri akan dipulau. Oleh yang demikian beliau terpaksa bergantung kepada media alternatif yang mempunyai kemampuan terhad. Sekali sekala pula Ketua Pembangkang itu akan diberikan tempat oleh media antarabangsa yang berminat mengenai nasib politik beliau dan keadaan sebenar negara.

Itulah hakikat “kebebasan” yang ada dalam arus media perdana Malaysia. Sayang sekali, saluran-saluran berita seperti Awani yang sepatutnya lebih bebas, turut menjunjung agenda Umno-BN demi kelangsungan syarikat itu sendiri.

Pemberitaan yang condong dan berat sebelah serta menggelapkan fakta demi mengisi kepentingan politik pemerintah sudah lama menjadi paksi media arus perdana. Keadaan semakin memburuk.

Sememangnya amalan media arus perdana ini amat dikesali. Tetapi lebih dikesali ialah tindakan ahli-ahli politik sendiri menjual maruah diri dan rela diperkuda oleh pemerintah menerusi media arus perdana.-TVS

Setelah anda membaca artikel ini, sila beri komen dan Ulasan anda -Martoiriat

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...