PRK Galas, Batu Sapi Antara Janji Dan Realiti
Jika Barisan Nasional menjanjikan pembangunan di mana sahaja ia memerintah, kenapa Sabah dan Sarawak antara negeri yang paling mundur di Malaysia?
Kenapa Terengganu masih begitu ketinggalan, walaupun menikmati royalti minyak ratusan juta ringgit untuk berpuluh- puluh tahun?
Jika BN menubuhkan Jabatan Persekutuan untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada rakyat Kelantan, kenapa penduduk negeri itu masih kekurangan prasarana asas seperti jalan, bangunan sekolah dan sebagainya?
Kenapa Gua Musang, umpamanya, masih mundur walaupun kawasan parlimen ini dikuasai oleh Tengku Razaleigh Hamzah, orang kuat Umno, kerabat diraja dan bekas Menteri Kewangan?
Di Galas, ketika ini dan sepanjang minggu lalu, Umno memberitahu pengundi bahawa hanya parti itu berupaya membawa pembangunan.
Di Batu Sapi, Sabah, Umno memberitahu pengundi bahawa tidak ada parti selain Umno-Barisan Nasional yang boleh membawa pembangunan.
Jika benar, kenapa kedua-dua kawasan itu mundur sehingga diibaratkan “ikon” kawasaan luar bandar terpinggir
.
Apakah Umno dan Barisan Nasional tidak mendapat peluang sebelum ini untuk membawa pembangunan ke Galas dan Batu Sapi?
Galas hanya beralih kepada PAS pada tahun 2008 tetapi masalah-masalah asas di daerah itu bermula jauh sebelum itu, ketika kawasan berkenaan masih dalam tangan Umno. Batu Sapi pula sememangnya kubu tradisi Umno-BN.
Apa jadi pada janji Umno-BN untuk membawa pembangunan kepada Galas dan Batu Sapi pada setiap pilihanraya umum sebelum ini?
Apa jadi kepada janji Umno bahawa biar apa pun, Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno akan membela orang Galas, malah seluruh penduduk Kelantan.
Hakikat ialah untuk dua dekad yang lalu, kerajaan persekutuan menerusi Umno mengekang kerajaan negeri Kelantan, sama ada dengan memotong peruntukan, memperlahankan bantuan atau pun tidak memberikannya sama sekali.
Sayugia diingatkan bantuan dan peruntukan yang dimaksudkan bukan sagu hati dan belas ihsan dari Umno, tetapi adalah mengikut apa yang di tetapkan di bawah Perlembagaan dan doktrin pengasingan kuasa antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.
Namun Umno cuba “menutup nafas” kerajaan negeri menerusi pelbagai cara dan sebaliknya cuba menyalurkan bantuan secara terus kepada penduduk Kelantan.
Maka ditubuhkan Jabatan Persekutuan dan pelbagai agensi persekutuan lain untuk mengagihkan bantuan itu. Malangnya bantuan tidak sampai kepada kumpulan sasaran. Tidak perlu dihurai kenapa ini berlaku. Cukuplah dengan pengetahuan umum bahawa budaya rasuah masih menebal dalam Umno dan menjadi masalah pokok dalam pemerintah.
Justeru, meskipun Umno mengitar semula pelbagai janji pada setiap pilihanraya termasuk pada pilihanraya kecil Galas, hakikat ialah Umno hanya menolong mengisi kocek pemimpin-pemimpinnya sendiri.
Rakyat negeri itu akan terus menanti untuk Umno menunaikan janji-janjinya.
Meskipun berdepan dengan asakan demi asakan dari Umno, kerajaan Kelantan berjaya mencorakkan satu bentuk pentadbiran yang bebas rasuah, di samping membawa pembangunan secara teratur dengan kemampuan yang ada.
Keikhlasan kerajaan negeri ini yang membolehkan pengundi Kelantan terus memberi undi mereka kepada PAS untuk sekian lama.
Jika pengundi di Galas termakan dengan kitaran janji- janji terbaru Umno esok, maka PAS akan hilang kerusi itu sungguhpun ia tidak akan menjejaskan imbangan kuasa dalam Dewan Undangan Negeri.
Namun jika pengundi menolak Umno, ia akan menghantar mesej jelas bahawa parti itu harus mula berikhtiar melaksanakan segala apa yang dijanjikan termasuk membayar royalti minyak kepada Kelantan sebelum meminta undi rakyat negeri itu.
Mesej ini cukup penting kerana pada setiap pilihan raya kecil, Umno akan menabur macam- macam janii dan mencanang dirinya sebagai pejuang rakyat jati.
Pejuang rakyat tidak akan membelanjakan RM65 juta untuk mengubah suai rumahnya atau membina bangunan 100 tingkat di Kuala Lumpur berharga RM5 bilion ketika ratusan ribu rakyat, termasuk di Galas dan Batu Sapi dicengkam kemiskinan.
Pergi sahaja ke Galas dan Batu Sapi, untuk mengerti kemiskinan dan menghayati kehidupan penduduknya. Selepas itu cuba dengar pemimpin- pemimpin Umno berjanji untuk membawa pembangunan di dua kawasan itu 50 tahun selepas Negara merdeka.
Jika ada yang tidak rasa loya atau mual, tentunya mereka ini sebaris dengan pemimpin- pemimpin seperti Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.- Zeanaaina Nohd Yusof (TVS)
Aku hanya mencari kebenaran demi keadilan sejagat. Dilahirkan di bumi tuhan sebagai insan kerdil yang tidak mempunyai apa-apa. Negara ini penuh penipuan dengan cerita cerita dongeng dan sandiwara oleh orang politik. Kehidupan mereka penuh khayalan dengan memperkayakan diri tanpa simpati pada yang daif. Mereka angkut hasil bumi tuhan dari titik peluh rakyat untuk kepentingan mereka. Mandat rakyat dijadikan modal politik usang untuk memperkayakan kroni. Rakyat harus tolak pemimpin-pemimpin ini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment