Friday, November 26, 2010

Kes Mata Lebam Anwar Dipalsukan

Gani Didakwa Palsukan Maklumat Kes Mata Lebam, Lakukan Enam Jenayah
Sudah tiba masanya negara dibebaskan dengan tanggungan sejarah 12 tahun berhubung isu mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghantui rakyat dengan mendedahkan perkara sebenar dan menghukum pihak yang secara terang memalsukan fakta insiden tersebut.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata pendedahan terbaru oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Kuala Lumpur SAC II Datuk Mat Zain Ibrahim kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang mendakwa Peguam Negara memalsukan bukti seharusnya membawa insiden pada tahun 1998 itu kepada satu garis penamat yang muktamad bagi mengembalikan imej dan kredilibiti pasukan polis di negara ini.

Butiran baru tersebut terkandung dalam warkah 19 mukasurat yang ditulis Mat Zain kepada Ismail yang dihantar pada 22 November lalu bertajuk “Lagi Mengenai Insiden Mata Lebam”.

"Dalam surat beliau kepada KPN, Mat Zain menggesa agar kes mata lebam ini ditutup secara muktamad dan terhormat sambil menawarkan maklumat baru. Baginya tidak perlu diadakan suruhanjaya diraja penyiasatan kerana pihak polis sendiri kompeten untuk menyelesaikan insiden ini.


"Pada 9 November apabila saya mengusulkan potongan gaji sebanyak RM10 terhadap Peguam Negara di Parlimen saya telah merujuk kepada dakwaan Mat Zain yang mengatakan Gani Patail memalsukan bukti dalam penyiasatan kes mata lebam Anwar Ibrahim dalam tahun 1998 tetapi kenyataan saya tidak dicabar," kata Kit Siang dalam kenyataannya di Parlimen Selasa lalu.

Pada perenggan 14 surat Mat Zain, beliau mendakwa keputusan awal di mana Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden tersebut telah diterbalikkan oleh Tan Si Abdul Gani Patail yang pada waktu itu menjadi Timbalan Pendakwa Raya Kanan.

"Setelah memberi persetujuan tersebut saya lihat wajah Tan Sri Andul Rahim begitu tenang,dan menerusi “body language” beliau, saya dapati seolah beliau begitu lega, setelah beban diatas bahunya dilepaskan.

"Malah beliau sambil bersahaja menanyakan kepada Tan Sri Norian, sama ada beliau layak membeli 'staff car' Mercedes yang sedang beliau gunakan itu, dan jika boleh beliau minta tolong, untuk 'repair' sedikit-sedikit mana yang rosak.

"Tan Sri Abdul Rahim juga memanggil PA beliau untuk menyemak baki pinjaman perumahannya atau bil-bil Kerajaan yang perlu beliau jelaskan. Malah beliau berpesan kepada Tan Sri Norian untuk menjaga kebajikan “budak-budak” (anggota polis) yang menjaga dan mengawal kediamannya dengan baik.

"Tan Sri Norian juga ada menyatakan yang beliau dan seluruh warga Polis tidak akan melupakan jasa-jasa Tan Sri Abdul Rahim kepada PDRM dan berjanji akan membantu beliau dan keluarga setakat yang termampu setelah Tan Sri Rahim meninggalkan Pasukan; mengikut rancangan, dua hari selepas perjumpaan kami itu, bagi membolehkan PDRM membuka lembaran baru.

"Begitulah antara suasana dalam bilik Tan Sri Abdul Rahim ketika itu dan selepas bersalaman dan memohon kemaafan dan ucapan terima kasih saya dan keluarga kepada beliau,serta berjanji akan menjengok-jengok keluarga beliau di Melaka, saya telah meninggalkan pejabat Tan Sri Abdul Rahim jam lebih kurang 3.30 petang, membiarkan mereka berdua untuk meneruskan perbualan," kata Mat Zain pada perenggan 12 suratnya.

Mat Zain menjelaskan persetujuan untuk menutup sepenuhnya insiden mata lebam itu dicapai antara jam 2.30 petang hingga 3.30 petang hari Khamis 8 Oktober 1998 di antara Abdul Rahim, Norian sebagai timbalannya dan beliau sendiri selaku Pegawai Penyiasat di dalam bilik pejabat KPN.

"Wajar saya menyatakan kesediaan dan kerelaan Tan Sri Abdul Rahim mengambil tanggungjawab sepenuhnya insiden mata lebam yang telah berlaku itu, dibuat secara sukarela dan tanpa pujukan sebagai seorang 'gentleman'.

"Proses penutupan ini juga dipersetujui dibuat secara professional, mengikut lunas undang-undang dan perlaksanaan sepenuhnya dibuat secara 'above board'.

"Saya telah ditugaskan untuk menyiapkan kertas siasatan serta merta dan lain-lain dokumentasi yang berkaitan, termasuk menyediakan faktor-faktor mitigasi yang saya perakukan boleh disiapkan dalam tempoh dua hari.

"Dengan mengambil kira tempoh rayuan 10 hari daripada Isnin 12 Oktober 1998, jika ada sebarang rayuan ke atas hukuman, kita menjangka dapat menutup kes tersebut sepenuhnya pada Khamis 22 Oktober 1998," ujar beliau lagi.

Bagaimana semua perancangan yang dibuat telah bertukar apabila Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohtar Abdullah serta Abdul Gani bertemu dengan Abdul Rahim di pejabat beliau antara pukul 5.00 petang dan 5.30 petang hari yang sama.

"Lebih kurang jam 6.00 petang itu saya dipanggil untuk berjumpa dengan Tan Sri Norian dan beliau cuma memberitahu saya 'untuk meneruskan siasatan seperti biasa', dan apabila melihat beliau membuat 'gesture' bahunya sedemikian, saya faham bahawa persetujuan yang dicapai antara kami beberapa jam sahaja sebelum itu telah dibatalkan.

"Saya harus menyatakan bahawa saya terkejut dan hampa dengan perubahan ini, tetapi siapalah saya untuk menghalangnya, oleh kerana kita sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok," jelas Mat Zain.

Tambah Mat Zain pada keesokan harinya terjadi beberapa keadaan tegang antara beliau dan Abdul Gani berhubung kes tersebut.

"Selanjutnya, tanpa sedikitpun menghiraukan nasihat, sergahan dan amaran daripada saya yang lebih tua daripada beliau, Tan Sri Abful Gani terus melakukan pemalsuan untuk menutup pemalsuan terdahulu dan membenamkan keterangan untuk membenamkan keterangan sebelum itu.

"Tan Sri Abdul Gani yang sebelum insiden mata lebam itu mungkin bersih daripada sebarang salah laku jenayah, tetapi kini mengikut pengiraan saya sendiri; boleh dihadapkan dengan sekurang-kurangnya enam dakwaan salah laku jenayah melibatkan pembuatan keterangan palsu dan menyorokkan dan/atau cuba membinasakan keterangan, kesalahan-kesalahan yang beliau cari sendiri," tegasnya.

Beliau berpendapat jika kes mata lebam dibiarkan tanpa penyelesaian muktamad lebih banyak kesalahan lain mungkin akan timbul.

"Lebih lama kes mata-lebam ini kekal lebih banyak kesalahan tambahan yang mungkin akan tercipta dan tidak hairan ramai lagi orang-orang yang tidak berkenaan akan terbabit, lebih-lebih lagi Pegawai-Pegawai Kanan kita yang bagus-bagus, terutamanya di Jabatan Peguam Negara boleh menjadi korban keadaan, selain dari ianya merosakkan imej Negara," ujar Mat Zain.-S/Keadilan

Setelah membaca artikel ini, sila beri sedikit komen dan ulasan anda - Martoiriat

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...