Saturday, April 14, 2012

Undang-undang Ganti ISA Macam Panadol


               Tindakan kerajaan pusat mengantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan satu akta yang serupa dilihat seperti memberi ‘panadol’ kepada penyakit.
               Pakar undang-undang perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 menunjukkan minda dan cara pemikiran pemimpin Umno-BN itu masih sama dengan dulu.

“Kenapa sibuk hendak ganti? Kenapa tidak mansuhkan sahaja? Ini menunjukkan mereka (Umno-BN) terdesak dan masih lagi belum sanggup untuk bebas sebagaimana dunia pertama,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, kerajaan pusat sepatutnya memansuhkan terus ISA dan menubuhkan satu suruhanjaya untuk mengkaji serta menyemak penindasan dan penyelewengan yang berlaku di bawah ISA sebelum ini.


“Suruhanjaya itu perlu menyiasat segala penyalahgunaan yang dilakukan Umno-BN dari hari pertama ISA diperkenalkan pada tahun 1960 dulu.

“Kerana selama ini kita melihat ISA hanya lebih kepada menindas dan sebenarnya tidak terjamin sepertimana yang didakwa oleh pemimpin Umno-BN,” katanya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen tidak seharusnya membuang masa bagi membahas akta itu.

“ISA diperkenalkan selepas darurat dibatalkan, jadi dari dulu hingga kini kita sebenarnya masih berada dalam keadaan darurat dan apa yang kita mahukan ianya dimansuhkan kerana sebagai rakyat kita mahukan kebebasan,” katanya.

Tambah Aziz lagi, Akta baru itu juga dilihat hanya memberi kelebihan kepada pihak polis.

Jelasnya, ianya satu lagi bukti menunjukkan polis dan Umno-BN umumnya, masih lagi tidak yakin untuk berada di dalam suasana baru.

“Mereka sebenarnya memikirkan tindakan rakyat mengancam mereka sedangkan sepatutnya kita lihat rakyat sebagai aset negara dan rakyat juga berfikiran waras dan cintakan negara.

“Rakyat tidak sepatutnya dikongkong. Ini menunjukkan perbezaan Pakatan Rakyat dan Umno-BN. Umno-Bn yang mempunyai sikap ‘dia saja yang tahu dan dia saja yang pandai’,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 itu bagi mengantikan ISA.

Akta baru itu menghadkan tempoh tahanan seseorang yang disyaki melakukan kesalahan keselamatan kepada 28 hari, berbanding 60 hari di bawah ISA.

Selepas tempoh 28 hari, setiap kesalahan akan di dakwa di Mahkamah Tinggi.

Mereka yang dilepaskan akan dipasang peranti pengawasan elektronik mengikut Kanun Tatacara Jenayah.

Akta baru itu menyenaraikan empat kesalahan iaitu menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang dipertua Agong, memudaratkan ketenteraman awam dan usaha mendapatkan perubahan selain dengan cara yang sah.-Harakahdaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...