Wednesday, April 4, 2012

Mari kita ikut nasihat Najib

  
           Sekalung bunga harus diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak kerana keikhlasan beliau menyampaikan nasihat yang baik kepada para pengundi Malaysia menjelang pilihan raya umum akan datang.
             Nasihatnya kepada para pengundi, dengan menjadikan contoh pemandu kenderaan sebagai kerajaan amatlah baik sekali, iaitu “janganlah kita bereksperimen untuk menukar pemandu yang telah terbukti kebolehannya, di tengah-tengah jalan, untuk digantikan dengan pemandu yang diragui dan berbahaya”.

Umum mengetahui bahawa kerajaan Barisan Nasional yang diterajui oleh UMNO sekarang memang amat diragui dan bahaya. Rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, amalan perkauman, politik membenci agama dan kaum lain serta salah urus ekonomi yang membebankan semua lapisan rakyat amat membahayakan negara.


Umum sedar bahawa slogan1Malaysia ciptaan Perdana Menteri hanyalah omong kosong yang ditolak sendiri oleh para pemimpin UMNO termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang gemar bermain politik perkauman.

Gelaja rasuah yang amat parah di mana kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International menjunam teruk ke tangga 60 pada 2011, menjadikan negara kita di tahap paling korup dalam tempoh 55 tahun di bawah pimpinan enam orang Perdana Menteri.

Sampaikan manusia-manusia yang terlibat dalam rampasan kuasa UMNO-BN di Perak pada 2009 yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat melalui rasuah politik sanggup diberi habuan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) bernilai RM2.2 bilion dan Lebuhraya West Coast bernilai RM7.1 bilion.

Malah, umum sedar betapa jijiknya cara kerajaan UMNO-BN menangani skandal NFCorp di mana amanah menternak lembu untuk membekalkan daging kepada rakyat telah menjadi wang joli untuk keluarga seorang menteri. Lebih teruk lagi keluarga ini masih mahu menegakkan benang yang basah dengan angkuh dan bongkak sekali.

Begitu juga kemaruk kerajaan UMNO-BN yang mahu menyenaraikan gergasi Felda ke bursa saham tanpa mempedulikan rintihan para peneroka yang telah mengorban masa, tenaga dan keringat selama beberapa generasi untuk membangunkan tanah-tanah rancangan yang menjadi kebanggaan negara.

Maka, jelaslah nasihat Najib kepada pengundi supaya memilih “pemandu yang cekap supaya dapat menggabung jalinkan segala faktor yang ada bagi memastikan kenderaan tiba ke destinasinya pada masa yang ditentukan dengan selamat”, sememangnya merujuk kepada Pakatan Rakyat.

Dengan hanya diberi mandat kecil memerintah Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan, kehebatan, ketelusan, kejujuran dan kecekapan tanpa rasuah serta penyelewengan membuktikan kemampuan Pakatan untuk mentadbir negara.

Pakatan Rakyat – PAS, PKR dan DAP – kini sedang lancar berusaha mendapatkan mandat rakyat untuk memulihkan negara yang sudah parah dikerjakan oleh UMNO-BN sejak lebih separuh abad.

Para pengundi sudah faham bahawa UMNO-BN adalah apa yang digambarkan oleh Najib sendiri sebagai kerajaan yang “hanya pandai berjanji tapi tidak pernah mengotainya. Mereka tidak pernah konsisten antara amalan dan retorik yang dilaungkan”.

Dengan kata-kata Perdana Menteri bahawa “makanya, berwaspadalah dengan alunan muzik oleh peniup seruling yang tampak indah tapi penuh dengan persona dan perdaya”, para pengundi sudah jelas di hati dan minda bahawa pilihan yang terbaik untuk PRU ke-13 nanti adalah Pakatan Rakyat.-Roketkini.


Rakyat yang cerdik adalah rakyat yang berfikir. Ubah sebelum parah. Undi Umno membawa padah.. Rasuah akan terus berleluasa. Lakukan perubahan demi masa depan kita. Undilah apa saja sekali pun, "Asal Bukan Umno"- A.B.U.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...