Monday, April 9, 2012

Integriti: Awang Adek terlepas, Shahrizat kena


               Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap tidak mengendah soal integriti apabila mengekalkan pelantikan Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai anggota Dewan Negara (Senator).
                 Sedangkan pada 6 Mei 2010 Timbalan Menteri Kewangan itu mengumumkan kerajaan mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Kenyataan berkenaan dikecam pelbagai pihak sehingga akhirnya kerajaan Barisan Nasional (BN) membatalkan cadangan tersebut.

Kewibawaannya lebih tercalar apabila beliau mengakui menerima RM100,000 yang dibayar kepada akaun peribadinya untuk kontrak yang dilulus pada November 2010.


Wang tunai itu difahamkan dimasuk ke akaun peribadi Awang Adek di sebuah bank di Bachok. Dakwaan tersebut dibuat blog Thewhistleblower711.

Bagaimanapun esok Awang Adek dijadual mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara bersama beberapa menteri termasuk Datuk Raja Nong Chik, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof berkata, transformasi ke arah lebih berintegriti yang disebut-sebut Perdana Menteri sebelum ini diangggap tidak memberi sebarang makna.

Ini kerana Fasal 45 (2) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan seseorang yang dilantik sebagai Senator hendaklah dipasti terbukti memberi perkhidmatan cemerlang kepada negara.

“Namun Dr Awang Adek sudah terpalit dengan banyak isu berkaitan soal integriti. Kalau Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak disambung sebagai Senator kerana isu RM250 juta, sepatutnya Ketua Umno Bachok juga perlu berdepan dengan situasi serupa.

“Seseorang anggota kabinet memasuk wang sumbangan ke dalam akaun peribadi tidak boleh dipandang mudah. Kita berharap SPRM tidak membiarkan kerana ia menyentuh soal integriti seperti dihasrat Perdana Menteri,” katanya di sini.

Pada 9 April 2009 Awang mengangkat sumpah sebagai Senator bagi membolehnya dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II. Sebelum ini beliau pernah dilantik sebagai Senator selepas pilihan raya umum 1999.

Bagaimanapun difahamkan penggal pertama pelantikannya sebagai Senator tidak mencukupi tiga tahun disebabkan parlimen dibubarkan pada 2004.

Wan Nik yang juga bekas anggota parlimen Bachok berkata, tempoh pelantikan Dr Awang Adek sebagai senator mungkin hanya tinggal setahun lagi bagi mengenapkan tempoh dua penggal.

Kata beliau sekiranya Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan terbabit gagal memenangi kerusi parlimen Bachok pada pilihan raya umum ke-13, tempohnya sebagai Senator akan berakhir.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...